Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harimau Malaya pun selalu kalah, kata Arul PSM
Diterbitkan:  Jul 27, 2023 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

PSM tampil dalam beberapa rakaman video di media sosial bagi menjelaskan mengapa parti itu tetap bertanding dalam pilihan raya, meskipun kerap kali tewas dan calon-calonnya hilang wang deposit.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Pengerusinya S Arulchelvan memberikan contoh pasukan bola sepak kebangsaan yang sering tewas dalam persaingan ke Piala Dunia.

"Orang selalu tanya pada saya mengapa PSM selalu nak bertanding walaupun kalah. Saya nak beritahu itu adalah usaha.

“Pasukan bola sepak Malaysia pun selalu kalah dalam pertandingan (persaingan) Piala Dunia. Tapi mereka masih berusaha, masih bertanding.

"Pasal hilang deposit, apa yang hendak dimalukan. Tun Dr Mahathir, perdana menteri dua kali pun hilang deposit.

"Dalam sistem first past the post, parti-parti yang besar saja boleh menang. Parti yang ketiga biasanya hilang deposit,” katanya yang juga calon PSM di DUN Kajang.

Kata Arutchelvan yang lebih mesra dengan sapaan Arul, sudah tiba masanya rakyat tidak diperbodohkan oleh parti-parti besar yang “didukung oleh tauke-tauke besar”.

"Rakyat takut untuk mengundi parti-parti yang baru. Dia (rakyat) selalunya dipaksa untuk mengundi antara dua parti yang besar.

"Sudah tiba masanya rakyat memberi kepercayaan kepada parti-parti kecil dan parti-parti yang komited kerana parti macam PSM akan memperjuangkan isu anda dengan lebih baik,” katanya.

Arul adalah calon keempat yang diumumkan PSM untuk mewakili parti itu dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Terdahulu parti itu sudah mengumumkan calon mereka untuk DUN Dengkil, Meru dan Kota Damansara.

PSM menjalin kerjasama dengan Muda untuk menawarkan kuasa ketiga bagi menghadapi PH-BN dan PN.

‘Jangan hairan jika Kerajaan Perpaduan kautim dengan PH’

Dalam pada itu Arul juga menjawab dakwaan bahawa tindakan PSM menyertai pilihan raya hanya akan memecahkan undi PH dan akhirnya memberikan kemenangan kepada PN.

"Kelakar betul diaorang cakap kita nak pecahkan undi. Dulu dia tuduh saya nak pecahkan undi Pakatan nak kasi BN menang.

“Tengok apa berlaku. Sekarang BN dengan PH sudah join. Esok jangan hairan mungkin Kerajaan Perpaduan PH-BN ini akan kautim pula dengan Perikatan Nasional.

"Rakyat kena faham hipokrasi dan pembohongan ini,” katanya.

Tambah Arul, tiada masalah bagi mana-mana parti untuk bekerjasama dengan parti lain dan pelbagai NGO kerana PSM juga berbuat demikian.

Bagaimanapun katanya, apa yang membezakan adalah PSM tidak pernah berkompromi dengan prinsip dan perjuangannya melalui kerjasama dengan parti lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS