Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selepas 13 tahun melalui pelbagai episod duka dalam hidup angkara bapa kandungnya, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 21, kini tampil lebih yakin dan kembali ceria.

Ini selepas ada pihak sudi menaja rawatan pemulihan wajahnya akibat disimbah asid oleh bapa kandung sendiri pada tahun 2010.

Nurul yang ditemui di ibu negara hari ini baru saja selesai menjalani rawatan pemulihan wajahnya buat kali kedua, semalam.

Dengan kos rawatan dianggarkan sekitar RM20,000, Nurul perlu menjalani 10 kali rawatan bagi membolehkan wajah pulih ke tahap 50 peratus.

Bercakap kepada pemberita di Pusat Khidmat Anggota Parlimen Seputeh di Kuala Lumpur, Nurul mengucapkan syukur tak terhingga.

Sebak memulakan bicara, Nurul berkata kesihatannya baik selepas menjalani rawatan pertama.

Bagaimanapun, katanya, dia sukar bernafas ketika demam dan selesema.

Ditambah lagi kerana saluran hidungnya semakin sempit.

Bagaimanapun, katanya, selepas menjalani rawatan kali kedua, perkara itu tidak berulang.

"Saya terharu, selama 13 tahun tak pernah terfikir ada orang akan bantu saya. 

"Kalau dahulu apabila demam atau selesema, saya tak boleh bernafas melalui hidung tetapi selepas jalani dua kali rawatan, keadaanya semakin baik.

“Masa terapi laser tak sakit. Tetapi masa suntikan ada rasa sakit sikit tapi tak apa sebab hasilnya memuaskan.

“Sebelum rawatan pun saya kesan parut di wajah saya agak dalam dan tebal semakin menipis. 

“Ada juga kesan parut yang mula hilang," katanya pada sidang akhbar bersama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Kuala Lumpur, hari ini. 

Bapa mengamuk emak minta cerai

Pada Ogos 2010 lalu, Nurul dilaporkan cedera parah di muka dan mata, manakala adik lelakinya, Mohd Irfan Fidaus Mat Haizan, cedera akibat disimbah asid oleh bapanya yang sedang mengamuk.

Tragedi malang di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Terengganu itu dipercayai berlaku selepas ibu Nurul, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 41, menuntut cerai daripada bapanya.

Sementara itu, menceritakan kembali kisah sedih anak beranak dari Kuala Berang, Terengganu itu, Che Ku Zaimah tidak dapat menahan tangisnya.

Che Ku Zaimah yang hadir menemani Nurul dilihat begitu terkesan dengan nasib yang menimpa anaknya.

Namun, Che Ku Zaimah tetap memanjatkan rasa syukurnya atas ihsan yang dihulurkan Kok.

Che Ku Zaimah berkata dulu mungkin dia sudah berhenti berharap untuk melihat anaknya kembali tersenyum.

Bagaimanapun, kata Che Ku Zaimah siapa sangka harapan yang sebegitu besar hadir buat Nurul dan kali ini ia benar-benar direalisasikan.

“Sebelum ini tiga bulan kami berada di hospital bagi menerima rawatan tapi selepas itu kami terpaksa menghentikannya kerana masalah pengangkutan.

“Sebelum ini juga Nurul dijanjikan untuk menjalani pembedahan plastik untuk merawat wajah yang memerlukan kos RM100,000 pada 2016, namun hasrat tersebut berlalu begitu saja.

“Cuma kali ini YB (Teresa Kok) benar-benar tunaikan hasrat Nurul,” katanya sambil mengucapkan terima kasih tak terhingga buat Teresa.

Menurut Che Khuzaimah, antara dia bertiga, kecederaan Nurul yang paling teruk apabila melecur di muka dan dada, manakala Irfan hanya sedikit saja di pipi. 

Justeru, besarlah harapannya untuk melihat anak gadisnya itu pulih dan dapat meneruskan hidup.

Teresa telefon doktor

Sementara itu, Teresa berkata, dia terpanggil untuk membantu Nurul sebaik ketika membaca laporan media tempatan mengenai kisah gadis itu  sebelum menghubunginya baru-baru ini. 

Menurut Teresa, dia juga bernasib baik apabila ada sebuah klinik swasta di Bangsar yang sanggup membantu dengan manaja kos rawatan Nurul.

"Apabila baca berita Nurul Dahyatul Fazlinda, saya rasa sedih kerana sebagai wanita kita mementingkan jaga kecantikan. Jadi saya hubungi beberapa doktor yang saya kenal untuk membantunya.

"Dia kini telah menjalani dua rawatan. Saya lihat ada perubahan pada mukanya yang nampak lebih ceria berbanding sebelum ini," katanya. 

Katanya, doktor memberi jaminan sekurang-kurangnya kesan parut tersebut akan pulih sebanyak 50 peratus. 

Pada masa sama, Teresa juga berkata dia akan cuba membantu Nurul untuk menyambung pengajian di peringkat vokasional atau kursus jangka pendek bagi membolehkannya mencapai impian memajukan kedai makan yang diusahakan bersama ibunya di Kuala Berang.

Pada 25 Ogos lalu, bapa Nurul, Mat Haizan Mat Yasin, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima kali sebatan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anaknya menggunakan asid.

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman itu setelah Mat Haizan mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mencederakan Nurul yang ketika itu berusia lapan tahun dan Irfan dua tahun.

Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Mat Haizan dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan sejenis asid ke atas Nurul di sebuah rumah di Kampung Sekayu, Kuala Berang, pada jam 1.45 pagi 15 Ogos 2010.

Tertuduh juga mengaku salah terhadap pertuduhan kedua menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan Irfan Firdaus di tempat dan masa yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS