Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim turut mengumumkan bantuan khas penghargaan sebanyak RM200 kepada pesara kerajaan, termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
Katanya, bantuan yang memanfaatkan 2.3 juta penjawat awam dan pesara.
"Sementara kajian gaji dan elaun diperincikan, kerajaan akan menyediakan bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM200 kepada pesara kerajaan.
"Saya arahkan Kementerian Kewangan agar dapat meluluskan dan menyalurkan bantuan khas ini dalam tempoh dua minggu dari sekarang.
"Dengan pemberian permulaan ini, diharap penjawat awam akan terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat melaksanakan pembaharuan Ekonomi Madani, memberi perkhidmatan terbaik, sekali gus membantu ruang fiskal kerajaan agar hasrat kerajaan untuk merealisasikan gaji baharu perkhidmatan awam menjadi kenyataan," katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Kuala Lumpur.
Menurutnya bantuan khas itu diumumkan sementara kajian gaji dan elaun diperincikan.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.
Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan terus komited untuk menyelaraskan gaji penjawat awam dengan melihat kepada kemampuan kewangan kerajaan.
“Ekonomi Madani, memberi perkhidmatan terbaik sekali gus membantu ruang fiskal kerajaan agar hasrat kerajaan untuk merealisasikan gaji baharu perkhidmatan awam menjadi kenyataan,” katanya.
Pada 13 Julai lalu, perdana menteri berkata skim gaji penjawat awam disaran dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaaan ekonomi negara dan cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat dengan Zuki serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamad sebelum pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini.