Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pasukan pembelaan Najib Razak sedang menimbang kemungkinan memohon hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada perbicaraan kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion terhadap bekas perdana menteri itu.

Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah berkenaan perkara ini susulan pendedahan Sequerah semalam yang dia pernah menjadi rakan kongsi dalam firma guaman yang sama dengan Jasmine Loo, individu yang kini dalam tahanan berkaitan skandal 1MDB.

Perkara itu didedahkan semalam selepas Shafee bertanya kepada pihak pendakwaan jika mereka berhasrat memanggil Loo sebagai saksi perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib semalam berkata, pihaknya setakat ini belum ada arahan untuk berbuat demikian.

Sequerah adalah rakan kongsi dengan Loo dalam firma guaman Zain & Co antara 10 hingga 15 tahun lalu, ketika dia masih menjadi peguam.

Loo kemudian meninggalkan firma itu dan Sequerah menjadi hakim pada 2014.

Hari ini, Shafee berkata walaupun jika Loo tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan, ada kemungkinan Sequerah masih perlu menarik diri kerana banyak saksi pendakwaan merujuk Loo - sebanyak 656 kali - dalam perbicaraan itu, yang bermula pada 2019.

Katanya, keterangan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi menyebut Loo sebanyak 79 kali, sementara beberapa saksi lain turut menyebut namanya.

"Kami mengambil pendirian yang tanpa mengira Jasmine Loo dipanggil atau tidak, keadaan ini menyebabkan Yang Arif mungkin perlu menarik diri kerana hubungan sebelum ini (dengan Loo) sebagai rakan kongsi dalam firma guaman," katanya sambil menambah Najib dan pasukan peguam terkejut dengan pendedahan Sequerah.

Shafee bagaimanapun menjelaskan mereka tidak membuat sebarang permohonan lisan buat masa ini, namun hanya memaklumkan kepada mahkamah mereka memerlukan masa untuk menyemak duluan berkenaan perkara itu, bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

"Saya akan kendalikannya bila tiba masanya," kata Sequerah.

Shafee kemudian berkata pihaknya akan memaklumkan ketika perbicaraan 14 Ogos ini berkenaan sama ada mereka memutuskan untuk membuat permohonan bertulis agar hakim tarik diri atau tidak.

Shafee kemudian meneruskan pemeriksaan balas dengan saksi pendakwaan ke-44 Kevin Michael Swampillai, bekas pegawai BSI Bank Singapura.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS