Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan wawasan ekonominya hari ini menerusi pelancaran Ekonomi Madani".
Berikut adalah perkara-perkara penting:
Tujuh penanda aras
1. Malaysia sebagai antara 30 ekonomi terbesar dunia. Berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia kini di tangga ke-35.
2. Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia. Malaysia kini di tangga ke-27.
3. Peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan. Matlamat yang digariskan Rancangan Malaysia ke-12 adalah 40 peratus menjelang 2025.
4. Kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus, meningkat daripada 55.1 peratus pada 2021.
5. Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia. Kedudukan pada masa ini adalah di tangga ke-62.
6. Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia. Kedudukan pada masa ini adalah di tangga ke-61.
7. Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai tiga peratus atau lebih rendah. Defisit tahun ini diunjurkan pada kadar lima peratus.
Destinasi pelaburan langsung asing (FDI) utama
Komponen utama Ekonomi Madani adalah menambah baik sektor perindustrian Malaysia, yang pada masa ini menyumbang 25 peratus KDNK, untuk menjadi pemacu pertumbuhan utama negara.
Antara strategi yang digariskan adalah diplomasi, menyemak semula insentif dan menambah baik prasarana.
Sebagai permulaan, RM100 juta akan diperuntukkan untuk menambah baik prasarana di zon perindustrian, terutama untuk prasarana berkonsepkan hijau.
Turut menjadi keutamaan adalah menyediakan ekosistem yang kondusif untuk syarikat pemula.
Pencirian lanjut dijangka akan diberikan apabila negara melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 bulan depan.
Pasaran ekuiti
Ekonomi Madani juga manyasarkan pelabur rakyat biasa dan perusahaan kecil dan sederhana untuk mengambil peluang dalam peluang pertumbuhan baru.
Pada tahun ini, kerajaan akan mengurangkan saiz lot dagangan dan membenarkan perdagangan saham pecahan.
Suruhanjaya Sekuriti juga akan memudah cara transaksi automatik untuk syarikat tersenarai dalam pasaran ACE ke pasaran utama Bursa Malaysia.
Gaji bermakna
Ekonomi Madani menyasarkan peningkatan gaji kepada 45 peratus KDNK, berbanding 32.4 peratus pada 2022, selaras dengan norma di negara maju.
Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan akan menyemak semula gaji minimum dan memperkenalkan model gaji progresif dengan pendapatan selaras dengan produktiviti.
Kerajaan juga menyasarkan untuk memperkenalkan levi pekerja asing berperingkat. Peningkatan hasil akan digunakan untuk program automasi dan latihan pekerja tempatan.
Perumahan
Kerajaan akan memperkenalkan skim pinjaman perumahan yang membenarkan pembiayaan sehingga 120 peratus dari harga rumah bernilai sehingga RM300,000.
Tumpuan diberikan untuk meningkatkan daya huni di Lembah Klang dengan Lembah Klang disasarkan menjadi hab rantau Asean bagi syarikat terkemuka.
Pemberian tunai
Kerajaan bercadang menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada golongan dewasa dengan gaji tahunan RM100,000 ke bawah. Sebanyak 10 juta rakyat dijangka menerima manfaat ini.
Penjawat awam Gred 56 ke bawah akan mendapat bonus RM300. Pesara tentera dan veteran berpencen pula menerima RM200.
Anwar berkata kerajaan dapat menyediakan pemberian ini ekoran kecekapan dalam memungut hasil.
Insentif cukai
Untuk memperkukuh pembangunan Iskandar Malaysia, kerajaan akan menawarkan pemberian kadar cukai 15 peratus kepada pekerja berpengetahuan.
Kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai berasaskan pencapaian untuk industri bagi menggalakkan kegiatan berimpak tinggi.
Kerajaan juga ingin menggalakkan lagi perusahaan sosial. Insentif khas dan layanan cukai akan ditawarkan namun tiada perincian berkenaannya setakat ini.
Kebajikan
Bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam tenaga buruh, kerajaan akan pusat penjagaan anak mampu milik dan menambah baik peraturan berkaitan industi penjagaan kanak-kanak.
Liputan perlindungan KWSP dan Perkeso akan diperluaskan secara berfasa.
Program Rahmah yang dimulakan Allahyarham Salahuddin Ayub dengan tujuan meringankan beban kos sara hidup akan diteruskan.
Kesaksamaan peluang
Perdana menteri mahu semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang diberi layanan saksama, sambil membangkitkan majoriti golongan miskin adalah dalam kalangan Melayu dan Bumiputera.
Penempatan sekolah asrama dan biasiswa akan diutamakan kepada golongan berpendapatan rendah.
"Saya memegang pada prinsip bahawa hanya melalui pendidikan berkualiti rakyat berupaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan," katanya.
Pendidikan
Ekonomi Madani akan mengalihkan pendekatan "berasaskan bekalan" yang dilaksanakan kerajaan kepada "berasaskan permintaan", di mana institusi pendidikan perlu bekerja rapat dengan industri dan majikan dalam merangka kurikulum.
Kerajaan menerusi Perkeso juga akan mewujudkan program peningkatan kemahiran untuk pekerja tidak formal.
Reformasi institusi
Kerajaan akan menubuhkan unit baru, GovTech Malaysia bagi menambah baik usaha digitalisasi kerajaan.
Anwar juga menegaskan kerajaan akan menangani ketirisan subsidi bagi menangani masalah fiskal negara.
Dia berkata peratusan hasil cukai berbanding KDNK telah menurun kepada 12 peratus, iaitu kadar paling rendah dalam kalangan negara serantau.