Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berkata sayap pemuda parti itu bersedia untuk bekerja “jauh lebih ikhlas” dalam mendukung parti.

Akmal berkata, sebagai ketua sayap parti dia dan jenteranya sudah pasti akan bekerja dengan lebih ikhlas bagi mencapai kemenangan BN dalam enam pilihan raya negeri (PRN).

"Sudah tentu saya ikhlas, kalau tak ikhlas tak kan kita masih lagi duduk dalam parti yang hampir 26 kerusi saja.

"Kalau tak ikhlas sudah tentu saya pergi ke parti lain. Tetapi disebabkan kita kekal setia di dalam parti bersama tentulah kita ikhlas dan setia bersama.

"Maksud ikhlas bagaimana kita nak menzahirkan jadi sudah tentu kita akan bekerja dengan jauh lebih ikhlas insya-Allah," katanya ketika ditemui dalam satu program di Ampang, petang tadi.

Muhammad Akmal berkata demikian selepas diminta mengulas laporan yang memetik sumber mengatakan bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua sayap parti - wanita, pemuda dan puteri - “lebih ikhlas” dalam bergerak menghadapi PRN.

Sumber dalam parti itu berkata Ahmad Zahid mengingatkan ahli parti bahawa PRN akan datang merupakan peluang terakhir mereka untuk bangkit semula.

Katanya Ahmad Zahid berkata demikian semasa mengendalikan mesyuarat Jawatankuasa Induk BN sempena bagi PRN di enam negeri nanti.

"Presiden memberitahu, sumbangan sayap kepada parti khususnya dalam PRN ini tidak begitu memberangsangkan," katanya yang turut hadir dalam mesyuarat itu di Kuala Lumpur.

Menurut sumber itu lagi, Ahmad Zahid mengarahkan jentera Pemuda, Wanita dan Puteri Umno memberi laporan yang sebenar mengenai situasi di lapangan kepada puncuk pimpinan.

Katanya, Ahmad Zahid menekankan perkara itu kerana maklumat yang tepat diperlukan jika mereka mahu melihat Umno kembali mendapat sokongan ramai.

Sementara itu, Muhammad Akmal juga membidas bekas pemimpin Umno yang meraih keuntungan daripada parti dan akhirnya meninggalkan parti.

"Tak seperti pemimpin yang sudah kaya raya dengan Umno, dah kumpul kekayaan dan akhirnya meninggalkan Umno,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS