Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuepacs jangka PM umum berita baik buat penjawat awam 8 Ogos ini

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menjangkakan pengumuman berita baik kepada penjawat awam oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 8 Ogos ini.

Presidennya Adnan Mat berkata kerajaan memberikan komitmen tinggi bagi menambah baik kebajikan penjawat awam di negara ini termasuk Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang sedang diguna pakai telah dilaksana sejak 1 Nov 2002.

"Cuepacs berterima kasih kepada Perdana Menteri dalam kenyataanya baru-baru ini iaitu kerajaan sedang menilai dan akan mengumumkan sesuatu kepada penjawat awam dalam waktu terdekat.

“Kami dimaklumkan ada satu perhimpunan penjawat awam bersama Perdana Menteri pada 8 Ogos, mudah-mudahan pada pertemuan itu, ada sesuatu untuk penjawat awam sebagaimana perkara kami bentangkan kepada Perdana Menteri pada perjumpaan 18 Julai lalu," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Malaysia MADANI Perkhidmatan Awam Bersama Cuepacs dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Jabatan Perdana Menteri di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Adnan berkata Perdana Menteri telah mempengerusikan mesyuarat berhubung keperluan khusus kepada penjawat awam baru-baru ini dan satu pasukan kajian bagi sistem saraan ditubuhkan bagi memperhalusi pelbagai perkara bagi menambah baik kebajikan kumpulan itu.

"Tuntutan kami dimasukkan dalam pasukan kajian tersebut dan mungkin belum selesai lagi ketika ini, tetapi apa diharapkan adalah satu bentuk kelegaan semasa untuk penjawat awam bagi menampung perbelanjaan keluarga sementara menunggu kajian sistem saraan itu dimuktamadkan," katanya.

Perdana Menteri dilaporkan akan mengumumkan beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam dalam tempoh seminggu dua lagi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS