Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hakim 1MDB dedah pernah jadi rakan kongsi bersama Jasmine Loo

BICARA 1MDB l Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah mendedahkan bahawa dia pernah menjadi rakan kongsi bersama dengan peguam Jasmine Loo yang dikaitkan dengan skandal 1MDB di sebuah firma guaman antara 10 hingga 15 tahun lalu.

Hakim itu bagaimanapun berkata Loo meninggalkan firma guaman Zain & Co antara 10 hingga 15 tahun lalu. Ini adalah semasa Sequerah masih menjadi seorang peguam dan sebelum dia dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman.

Jasmine Loo

Dia membuat pendedahan itu semasa perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak petang ini.

Sequerah membuat pendedahan itu apabila peguam bela tertuduh Muhammad Shafee Abdullah menyoal pasukan pendakwaan jika mereka akan memanggil Loo untuk memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) belum  melihat sebarang kenyataan yang dirakamkan oleh pihak berkuasa Malaysia daripadanya, dan tidak mempunyai sebarang arahan jika dia akan menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB sekarang.

“Memandangkan isu Jasmine Loo dibangkitkan, adalah wajar pada ketika ini, saya mendedahkan bahawa individu yang sama itu dan saya sendiri adalah rakan kongsi dalam firma guaman ketika saya menjadi peguam. Firma itu adalah Zain & Co, sebuah firma bersaiz sederhana.

“Ia sudah bertahun-tahun dahulu. Sekitar 10 hingga 15 tahun yang lalu. Saya tidak ingat, Dia telah meninggalkan (firma guaman) itu,” kata Sequerah.

Adalah menjadi amalan undang-undang standard bagi hakim bicara untuk mendedahkan perkara seperti ini demi kepentingan ketelusan dalam pentadbiran keadilan, katanya.

Selepas pendedahan Sequerah, perbicaraan disambung semula dengan Shafee menyambung pemeriksaan balasnya terhadap saksi pendakwaan ke-44 Kevin Michael Swampillai, bekas jurubank dengan BSI Bank cawangan Singapura yang tidak lagi beroperasi.

Pada 12 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan dalam sidang akhbar bahawa Loo menyerah diri kepada pihak berkuasa Malaysia, selepas berada di luar selama bertahun-tahun.

Sehari kemudian melalui peguamnya dari firma guaman AmerBon, bekas eksekutif 1MDB yang baru ditangkap itu berkata bahawa dia mahu membantu pihak berkuasa dalam mempercepatkan usaha pemulihan aset berkaitan skandal berkenaan.

Bekas menteri kewangan Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS