Pemimpin DAP Pulau Pinang Satees Muniandy, yang digugurkan sebagai calon pilihan raya, memberi amaran berkaitan bahaya “maharaja” yang menentukan calon di negeri itu.
Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam itu juga menyifatkan istilah Gelombang Hijau hanyalah taktik untuk menakut-nakutkan orang ramai terhadap Perikatan Nasional (PN).
“Ia hanya buat ‘maharaja’ bertambah kuat.
“Kamu tak dapat Gelombang Hijau, kamu dapat Xi Jinping,” katanya.
Pengkritik Xi Jinping dicop sebagai diktator oleh pengkritik selepas membuat pindaan perlembagaan bagi membolehkannya terus menjadi presiden.
Satees tidak menamakan individu itu tetapi menyebut dia sangat berkuasa untuk menentukan calon DAP di Pulau Pinang.
‘Saya gagal bawa VIP pusing dengan Vellfire’
Sementara itu, Satees berkata sepanjang menjadi wakil rakyat sejak 2018, dia memperjuangkan pelbagai isu rakyat.
“Dalam lima tahun, saya buat kerja lebih banyak daripada orang yang gagal selama 10 tahun.
“Saya tidak bawa kereta Vellfire dan bawa pemimpin ke sana sini. Saya tidak angkat beg pemimpin itu,” sindirnya.
Dia juga menolak penjelasan bahawa senarai calon baru bertujuan mengetengahkan calon lebih muda.
Katanya, dia sendiri hanya berumur 38 tahun.
Sedangkan, tambahnya, ada yang dalam senarai calon itu berumur sehingga 58 dan 61 tahun.
“Memang tiada keadilan dalam politik. Saya terima tetapi saya akan terus bersuara,” katanya.