Seorang ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC digantung keahliannya - berkuat kuasa serta-merta - setelah dia muncul di pentas PN baru-baru ini.
Sumber parti itu yang mengesahkan penggantungan tersebut kepada Malaysiakini juga memberitahu KR Parthiban turut dipecat daripada jawatannya ahli CWC.
"Dia telah digantung dan turut dipecat selaku ahli CWC.
"Parti akan membuat siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi MIC untuk mendapatkan komen.
Pada 23 Julai lalu Parthiban yang juga bekas Adun Ijok di Selangor hadir di majlis pelancaran Sekretariat Kelab Penyokong PN (India) di Tanjung Karang.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali, dan bekas Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar.
Dalam ucapan di majlis itu Azmin berkata Parthiban akan dilantik mengetuai sekretariat tersebut dan bertanggungjawab bagi zon Selangor Utara.
Sementara itu, sumber yang sama memberitahu terdapat sedikit kekeliruan dalam kalangan ahli dan penyokong MIC berhubung peranan mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Mungkin bertanding di Tapah saja
Katanya keputusan rasmi MIC sebelum ini ialah menyokong PH di peringkat pusat tetapi parti itu tidak akan berkempen untuk calon gabungan berkenaan dalam PRN.
"Pendirian parti ialah hanya akan turun berkempen bagi calon BN sahaja.
"Maka untuk kawasan dewan undangan negeri yang tidak ditandingi BN, adakah ahli MIC bebas berkempen untuk calon pilihan mereka?" katanya.
MIC - seperti MCA - sebelum ini membuat ketetapan untuk tidak meletakkan sebarang calon di mana-mana kerusi dalam PRN di enam negeri bulan depan.
Bagaimanapun kedua-dua parti itu memberi komitkan untuk membantu kempen calon BN.
Tindakan dua parti komponen BN berkenaan diambil selepas mendapati mereka diketepikan daripada rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PH.
Presiden MIC SA Vigneswaran berkata Umno juga tidak bersungguh-sungguh ketika mengadakan perbincangan pembahagian kerusi bagi pihak MCA dan MIC.
Selain itu, dia juga mendakwa formula "kerusi yang menang akan dikekalkan" tidak sesuai kepada MIC.
"Kalau kita setuju dengan formula itu untuk PRU ke-16 nanti, MIC hanya boleh bertanding di kerusi parlimen Tapah sahaja, maka rundingan sebegini tidak sesuai untuk kami.
“Masa depan parti lebih penting berbanding bertanding dalam PRN," katanya.