Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
8 Ogos - Bicara rayuan Apandi dalam saman fitnah ke atas Kit Siang

Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Ogos untuk mendengar rayuan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dalam saman fitnah RM10 juta terhadap veteran DAP Lim Kit Siang.

Mahkamah menetapkan tarikh pendengaran itu semasa pengurusan kes pagi ini berhubung rayuan Apandi dalam tindakan sivilnya berhubung dakwaan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Peguam M Visvanathan, yang mewakili bekas peguam negara itu, mengesahkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh pendaftaran Mahkamah Rayuan.

"Semua hujahan telah difailkan (oleh pihak-pihak untuk pendengaran rayuan akan datang)," kata peguam itu.

Peguam Simranjit Kaur Daljit Singh mewakili Lim semasa pengurusan kes hari ini.

Apandi merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Mei tahun lepas yang menolak saman fitnahnya berhubung artikel Lim yang ditulis sebelum ini pada 6 Mei 2019.

Perayu mendakwa artikel itu membayangkan, antara lain, dia terlibat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika, dan telah menyalahgunakan kuasanya semasa menjadi peguam negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018.

Dalam penghakimannya setebal 100 muka surat yang dipetik portal perniagaan dalam talian The Edge, hakim mahkamah sivil Azimah Omar memutuskan bahawa kenyataan Lim dalam menggesa Apandi menjawab mengapa dirinya melepaskan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung skandal 1MDB pada 2016 adalah berasas.

Dia juga antara lain menyebut bahawa Lim wajar membangkitkan isu itu, terutamanya berikutan  Najib telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi berasingan pada 2020 dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Dalam samannya yang difailkan pada 5 Julai 2019, Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis dan menyebabkan artikel bertajuk "Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” disiarkan portal berita Malaysiakini.

Dia mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terlibat dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi peguam negara.

Apandi  mendakwa perkataan fitnah itu tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas peguam negara bagi meraih publisiti murahan.

Dia menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan/atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Apandi memfailkan rayuan itu pada 24 Mei tahun lepas.

[Baca berita penuh]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS