Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah: Sahabat polis saya kata PN mendahului di Selangor

Ketua pembangkang yang juga bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin mendakwa dia masih menerima maklumat berkenaan PRN akan datang daripada "sahabat-sahabatnya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)".

Bercakap dalam ceramah PN di Tanjong Karang, Selangor malam tadi, Hamzah mendakwa mereka memberitahunya yang PN sebenarnya mendahului di Selangor.

Ia berbeza dengan dakwaan menteri besar sementara Amirudin Shari bahawa PH yang menikmati tahap sokongan yang lebih tinggi, katanya.

"Hari ini saya dengar Amirudin kata mereka (PH) yakin dan masih mendahului. Itu kata Amirudin.

"Saya bekas menteri dalam negeri. Masih ramai sahabat-sahabat saya dalam PDRM.

"Mereka beritahu saya yang apa yang Amirudin kata itu bukan laporan dari mereka. Laporan yang sebenar, seperti Datuk Yunus Hairi kata tadi, adalah PN masih mendahului di Selangor dan insya-Allah akan menang dalam PRN nanti," katanya ketika pelancaran jentera PN bagi DUN Permatang dan Sungai Burong.

Yunus adalah ketua pesuruhjaya Selangor. Dia juga ahli parlimen Kuala Langat dan penyandang DUN Sijangkang.

Malaysiakini telah menghubungi Bukit Aman dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengulas dakwaan Hamzah.

Hamzah menjadi menteri dalam negeri pada Mac 2020 sehingga Oktober 2022, selepas Dewan Rakyat dibubarkan bagi memberi laluan untuk PRU15 diadakan.

Hamzah yang juga ahli parlimen Larut turut mendakwa itulah sebabnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mula risau akan tewas dengan PN.

"Hari tu angkuhnya perdana menteri, pergi merata (dan) balun (PN).

"Semalam dah lain bunyinya. Dah rasa nak kalah, baru nak merayu (sokongan)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS