Dr Mahathir Mohamad mendakwa hasrat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menyemak semula gaji kakitangan awam adalah sukar kerana kerajaan ketika ini sedang menanggung hutang yang besar.
“Kononnya mahu naik gaji pegawai kerajaan, mahu naik bagaimana, duit pun tiada.
"Bayar hutang sahaja berbilion setahun, macam mana mahu naik gaji?” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Dr Mahathir berkata demikian sewaktu berucap pada program Jelajah Bicara Bangsa di Sikamat, malam tadi.
Pada 13 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyarankan agar skim gaji penjawat awam dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaan ekonomi negara.
Anwar, yang juga menteri kewangan berkata, cadangan itu akan dikemuka pada mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Zulkapli Mohamad sebelum pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Sebelum ini pada 7 Julai, perdana menteri berkata, keputusan untuk mengkaji semula skim gaji penjawat awam dibuat berikutan tiada kenaikan dalam tempoh yang agak lama dan kali terakhir ia disemak ialah pada 2013.
Sementara itu, Dr Mahathir turut mempersoalkan kenyataan Anwar yang mahu gaji lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dinaikkan serta pengumuman pemberian elaun perantisan minimum.
“Syarikat mempunyai budget tertentu, tidak sewenangnya naik gaji pegawai dan kakitangan mereka, ini akan menyebabkan perniagaan mereka akan jadi rugi,” katanya lagi.