Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia malam tadi.
Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Saya merasa dukacita mendengar perkhabaran ini dan berdoa semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dapat bersabar dan tabah melalui detik mendukacitakan ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, menerusi laman Facebook, turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
“Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” kata beliau.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula menyifatkan ketokohan dan jasa Salahuddin menyemai benih harapan untuk masa depan negara.
“Tidak terungkap kesedihan dengan pemergian sahabat dan rakan seperjuangan saya saudara Salahuddin Ayub. Salam takziah untuk keluarga beliau, semoga sabar menghadapi ujian ini,” katanya.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga Salahuddin sambil berterima kasih atas usaha dan keringat Allahyarham ketika berkhidmat untuk negara.
“Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perjumpaan pada minggu lepas merupakan pertemuan terakhir beliau dengan Allahyarham bagi membincangkan beberapa perkara dan memuktamad tiga kerusi Amanah yang bertindih selain jadual kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Tiga hari lepas Salahuddin hubungi lagi. Kali ini tetiba bertanyakan khabar kesihatan saya dan ingatkan saya perlu berehat. Semalam, saya ziarah beliau di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah setelah diberitahu keadaan beliau.
“Rupanya itu pertemuan terakhir dan Salahuddin pergi buat selamanya. Saya kehilangan sahabat sejati. Wataknya lemah lembut, tutur bicaranya tersusun, sangat memahami perit jerih rakyat bawahan,” katanya.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli turut mengucapkan takziah buat ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Semoga segala usaha, jasa dan bakti Allahyarham dibalas dengan ganjaran pahala yang besar,” katanya.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang merendah diri dan sentiasa mengambil berat hal kebajikan rakyat.
“Dari jauh saya mengutuskan ingatan dan salam takziah kepada isteri dan keluarga Allahyarham. Saya mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan keluarga Allahyarham diberi ketabahan dalam mendepani dugaan yang amat berat ini,” katanya.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata jasa Allahyarham yang mencetuskan Inisiatif Payung Rahmah antaranya Menu Rahmah dan Jualan Rahmah, sangat besar dalam membantu mengurangkan beban rakyat.
“Dalam politik, saya akan sentiasa kenang saat-saat indah, perit, senang dan susah terutama dalam Majlis Pimpinan Pakatan Harapan. You will be missed, dear friend (Kami akan merinduimu, sahabatku),” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya.
Salahuddin, 61, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram meninggal dunia pada 9.23 malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyah(HSB) Alor Setar, Kedah.
Sabtu lalu, Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal memaklumkan Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang mengucapkan takziah buat seluruh keluarga Allahyarham.
“Terkejut dengan berita pemergian rakan saya (dalam Jemaah Menteri). Satu kehilangan besar buat negara dan semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan dosa, diterima segala amal ibadahnya serta ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan Salahuddin sebagai tokoh yang memperjuangkan Konsep Rahmah bagi membantu meringankan beban rakyat.
“Semoga Allah merahmati serta mengampunkan dosa Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Saya juga mendoakan ketabahan buat ahli keluarga Allahyarham dalam menghadapi ujian yang berat ini,” katanya.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beliau amat sedih menerima berita pemergian Allahyarham yang juga sahabatnya.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan semoga diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi dugaan ini. Seluruh negara tentunya amat berdukacita atas kehilangan ini. Negara kehilangan sebutir permata,” katanya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli turut merakamkan takziah terutama buat keluarga Allahyarham Salahuddin dan rakan-rakan Parti Amanah Negara (Amanah) atas kehilangan besar ini.
- Bernama