Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi, Mat Sabu ucap takziah pemergian Salahuddin
Diterbitkan:  Jul 23, 2023 10:40 PM
Dikemaskini: 3:24 PM

Ucapan belasungkawa dan bacaan Al-Fatihah mencurah-curah daripada pelbagai pihak atas pemergian Allahyarham Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut mengucapkan takziah atas pemergian timbalan presiden Amanah itu.

"Takziah kami ucapkan kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

"Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya," katanya pada satu kenyataan.

Sebelum bergiat secara langsung dalam politik, Salahuddin merupakan aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada awal 1980an.

Allahyarham kemudiannya menyertai PAS dan dari 1983 ke 1987 merupakan naib yang dipertua PAS Pontian.

Salahuddin juga berkhidmat dua kali sebagai ahli parlimen PAS di Kubang Kerian.

Pada 2015, allahyarham ikut mengasaskan Amanah, parti yang sebahagian besarnya dianggotai oleh bekas pemimpin PAS.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu pada maklum balas segera di media sosial berpesan kepada semua ahli dan penyokong Amanah supaya bersabar.

Mohamad juga meminta mendoakan roh Allahyarham Salahuddin ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta amal baktinya diterima di sisi Allah SWT.

"Malam ini adalah malam yang paling menyedihkan buat seluruh ahli dan penyokong Parti Amanah Negara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin, dalam menyampaikan ucapan takziah berkata menteri kos sara hidup itu merupakan seorang yang dihormatinya.

"Walaupun berbeza idealogi politik, Allahyarham Salahuddin merupakan tokoh yang saya hormati. Beliau merupakan sosok pimpinan yang matang, progresif dan pragmatik.

"Kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Salahuddin, saya faham kehilangan orang yang tersayang bukanlah sesuatu yang mudah tetapi bersabarlah dengan ujian Allah SWT," katanya pada hantaran di media sosial.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke ketika berceramah pada majlis PH di Negeri Sembilan malam ini menyebut penghargaan terhadap pelbagai usaha Allahyarham Salahuddin seperti inisiatif Rahmahnya.

Perkara ini benar-benar membantu rakyat, kata Loke.

Salahuddin telah meninggal dunia dua hari selepas dia dikejarkan ke hospital di Alor Setar pada hari Jumaat dan doktor mengesan dia mengalami pendarahan otak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS