Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Selangor: Calon PKR DUN Permatang bukan ahli 'kluster mahkamah' - Fahmi

Calon PKR untuk kerusi DUN Permatang dalam PRN Selangor akan datang bukanlah tergolong dalam 'kluster mahkamah' menurut ketua penerangan parti itu, Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga menteri komunikasi dan digital berkata ini kerana mereka yang terlibat dalam ‘kluster mahkamah’ adalah ahli politik yang sedang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menghasut atau pun rasuah.

"Bagi saya, itu sudah selesai," katanya ketika diminta mengulas mengenai pencalonan Mohd Yahya Mat Shari bagi kerusi DUN Permatang semalam, di Shah Alam.

Pada 4 Mac 2016 lalu, Mohd Yahya yang juga bekas pegawai khas kepada bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim dipenjara dua tahun dan menerima dua sebatan selepas dia gagal dalam rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan terhadapnya atas kesalahan menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd Abdul Karim Munisar berhubung sumbangan RM50,000 bagi menaja sambutan 100 hari Pakatan Rakyat (PR) pada ketika itu.

Bercakap kepada pemberita di UiTM Shah Alam hari ini Fahmi berkata semua calon PKR telah diarah menandatangani bon berjumlah RM10 juta.

Katanya, ini bagi mengelak perkara yang sama berlaku kepada parti ekoran tindakan bekas naib presidennya Zuraida Kamaruddin yang bertindak melompat parti.

“Saya difahamkan calon-calon dari PKR dan PH akan atau telah diarah untuk menandatangani bon bernilai RM 10 juta sekiranya mereka melepaskan kerusi ataupun bertindak lompat parti dan kita telah lihat tindakan mahkamah terhadap (bekas ahli Parlimen Ampang) Zuraida Kamaruddin membuktikan cara ini boleh diguna pakai,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta dan kos RM50,000 kepada PKR kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Hakim Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat.

Saman itu difailkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail pada 28 Sept 2020 untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya dengan parti itu.

Zuraida bersama 11 ahli parlimen lain diketuai Azmin Ali keluar PKR pada Feb 2020 untuk menyokong Bersatu, Umno-BN dan GPS dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kejadian yang digelar sebagai Langkah Sheraton itu membawa keruntuhan pentadbiran Pakatan Harapan yang mendapat mandat untuk menjadi kerajaan melalui PRU14.

Pada Sept tahun yang sama, PKR memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana meninggalkan parti.

Pada Mei tahun lalu, Zuraida meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Kemudian, pada Dis tahun lalu, Zuraida dan sepuluh ahli PBM lain dipecat ekoran krisis dalaman parti itu yang berlegar di sekitar isu pelantikan presidennya.

Awal tahun ini, Zuraida dipilih sebagai timbalan presiden NGO Muafakat Nasional yang digerakkan bekas ahli Umno Annuar Musa.

Pada PRU15, Zuraida bertanding atas tiket PBM dalam cubaannya mempertahankan kerusi parlimen Ampang.

Pun begitu, Zuraida yang pernah menjadi ketua Wanita PKR tewas dan hilang deposit. Kerusi parlimen Ampang dimenangi calon PH, Rodziah Ismail yang memenanginya dengan majoriti 29,681 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS