Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching telah menolak desakan Ahli Parlimen Bersatu Wan Saiful Wan Jan supaya Fahmi Fadzil meletakkan jawatan menteri berikutan kontroversi kumpulan The 1975.
Teo berkata gesaan sedemikian adalah tidak logik.
“Adakah Wan Saiful akan meminta menteri pengangkutan meletakkan jawatan jika ada yang melanggar had laju, atau peraturan jalan raya?
"Perlukah menteri dalam negeri meletakkan jawatan sekiranya orang awam mencuri atau disyaki rasuah dan kemudian didakwa di mahkamah seperti yang berlaku kepada Wan Saiful," soalnya pada satu kenyataan hari ini.
Dia merujuk dua pertuduhan kes rasuah Wan Saiful berhubung skandal Jana Wibawa.
Pada hari Jumaat, dua anggota lelaki kumpulan British 1975 bercium semasa di atas pentas di festival Good Vibes sebagai bantahan terhadap undang-undang Malaysia berkaitan LGBT.
Ini mencetuskan maklum balas orang ramai, dengan Wan Saiful membidas Fahmi, berkata dia harus bertanggungjawab atas aksi itu dan perlu meletakkan jawatan sebagai menteri komunikasi dan digital.
Fahmi telah mengarahkan pembatalan serta-merta festival itu manakala kumpulan berkenaan telah dilarang membuat persembahan di Malaysia.