Perbuatan berciuman antara dua anggota lelaki sebuah kumpulan British pada festival Good Vibes di Kuala Lumpur malam tadi mengundang kecaman terhadap Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil daripada MCA dan Bersatu.
Susulan keputusan membatalkan festival itu, Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker meminta "empati dan simpati" menteri berkenaan terhadap penganjur, manakala bekas ketua penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan pula mendesak Fahmi meletakkan jawatan.
Ti berkata Fahmi sepatutnya menyasarkan Matt Healy, vokalis kumpulan The 1975, yang membuat persembahan sambil memegang objek dipercayai botol arak sebelum mencium pemain gitar lelaki band berkenaan - dan bukan membatalkan festival itu.
"Memang perbuatan yang dilakukan artis itu mesti dikutuk dan undang-undang kita mesti ditegakkan untuk melindungi anak muda dan mereka yang mudah terpengaruh, dan Healy serta The 1975 mesti dihukum.
"Tetapi hukuman yang dijatuhkan kepada penganjur dengan sewenang-wenangnya atau tidak wajar tidak memberi kesan yang baik kepada menteri mahupun kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ti berkata menteri itu tidak sepatutnya dilihat sebagai "terburu-buru atau menyasarkan tempat yang salah".
"Membatalkan festival dan meminta penganjur membayar balik semua tiket yang dijual adalah tidak adil kepada penganjur yang akan menanggung kerugian besar dari segi kewangan dan reputasi mereka," tambahnya.
Menurut Ti, Fahmi dan PKR, yang dianggapnya sebagai "liberal", nampaknya cuba menenangkan golongan konservatif menjelang enam pilihan raya negeri.
“Adakah tindakan drastik ke atas penganjur ini betul kerana mereka tidak mempunyai kawalan terhadap aksi spontan mana-mana penghibur mereka di atas pentas.
"Keputusan menteri itu mungkin akan memenangi sokongan politik untuk pilihan raya negeri tetapi pasti akan merosakkan citra antarabangsa dan industri hiburan tempatan kita yang sudah berada di bawah tekanan dan cabaran yang hebat," katanya.
Tambahan pula, Ti berkata langkah Fahmi akan menjadi duluan (precedent) kepada penganjur konsert di masa hadapan, yang terikat dengan sekatan Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
'Menteri mesti letak jawatan'
Sebaliknya, Wan Saiful menggesa Fahmi mengambil tanggungjawab atas “aksi liar, lucah dan luar tabi’e” dengan meletakkan jawatan.
“Saya menggesa Fahmi meletakkan jawatan serta-merta kerana terbukti tidak kompeten menjalankan tanggungjawab.
“Kerajaan juga mesti mengambil tindakan undang-undang yang keras terhadap aksi luar tabi'e yang dilakukan di khalayak umum. Jangan sekadar batalkan konsert saja,"katanya.
Wan Saiful dalam pada itu berkata dia menjangkakan Fahmi akan meletakkan kesalahan kepada orang lain khususnya penjawat awam.
"Yang akan menjadi mangsa ialah penjawat awam. Menyalahkan orang lain adalah modus operandi biasa kerajaan yang tidak kompeten ini," ujarnya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Nai'm Mokhtar berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap penganjur untuk dijadikan pengajaran kepada pihak lain.
Selain peraturan Puspal, Na'im berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah menyediakan garis panduan berhubung artis antarabangsa, yang mesti dipatuhi.
Terdahulu, Puspal berkata The 1975 telah disenaraihitamkan daripada membuat persembahan di Malaysia.
Agensi itu telah memfailkan laporan polis terhadap kumpulan itu dan penganjur acara kerana "kecuaian dan kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan".