Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Salahuddin selamat jalani pembedahan, kini dalam ICU'

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub yang mengalami pendarahan otak, selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di Alor Setar, Kedah pagi ini.

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata dia telah dimaklumkan oleh pengawal pengiring Salahuddin bahawa timbalan presiden Amanah itu telah dikeluarkan dari dewan bedah dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan seterusnya.

"Menteri telah selamat menjalani pembedahan pagi tadi. Dia dimasukkan ke bilik pembedahan sekitar 3.30 pagi dari wad kecemasan.

"Saya tidak pasti berapa lama pembedahan berlangsung, tapi saya dimaklumkan pembedahan berjaya oleh pengawal pengiringnya sekitar lapan pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mahfuz berkata Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB, kira-kira 10 malam tadi selepas mengadu berasa tidak sihat ketika berada di hotel penginapannya di sana.

"Dia sepatutnya menghadiri program ceramah dengan saya, tapi tidak hadir selepas berasa tidak sihat dan kemudian dikejarkan ke wad kecemasan. Programnya juga agak padat semalam, mungkin dia juga keletihan," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal dalam kenyataan memaklumkan menteri berkenaan dikejarkan ke wad kecemasan kira-kira 10.15 malam tadi dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah.

Ahli parlimen Pulai itu kemudian disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Semalam, Salahuddin menghadiri beberapa program di negeri ini antaranya Majlis Perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi Borong Edar serta Majlis Perasmian Jelajah Jualan Rahmah Kedah dan Jelajah Townhall bersama Mahasiswa Universiti Utara Malaysia.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS