Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahdzir: Kita bagi menang dulu, baru bincang calon MB Kedah

Pengerusi Umno Kedah, Mahdzir Khalid mahu usaha parti itu ditumpukan untuk memenangi pilihan raya negeri (PRN) terlebih dahulu sebelum menentukan calon menteri besar.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan parti yang mencalonkannya bertanding dalam PRN di Kedah, 12 Ogos nanti.

Ditanya sama ada dia merupakan calon menteri besar Kedah, Mahdzir tidak menafikannya, namun menegaskan fokus utama adalah adalah kemenangan BN dan Pakatan Harapan (PH) terlebih dulu.

"Kita serah kepada pucuk pimpinan, kita bagi menang dululah.

"PH menang tempat dia, BN menang tempat kita… Kita gabung itu," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman calon BN di ibu negara malam tadi.

Pada PRN Kedah, Mahdzir yang juga bekas anggota kabinet dipertaruhkan BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu.

Mahdzir pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pedu pada 2004 sebelum dilantik menjadi menteri besar Kedah.

Bekas menteri kemajuan luar bandar itu tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ketika cuba mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap.

Sementara itu, Mahdzir berkata "gelombang Sanusi" - merujuk kepada populariti menteri besar sementara Kedah Sanusi Md Noor - tidak memberi kesan kepada BN untuk merampas kembali Kedah yang kini ditadbir PAS.

Jelasnya, Kedah adalah sebuah negeri dengan kerajaan negerinya sentiasa berubah dan tidak kekal lama.

"Gelombang ni gelombang yang macam mana? Kedah ni dia 'swing state' bukan sesuatu yang statik.

"Orang Kedah ni dia pemikiran terbuka, bila pemikiran terbuka ada musim dia bagi semua kat PAS, ada musim dia bagi semua kat BN.

"Jadi, tak lah kata (rakyat Kedah) ekstrem satu aliran," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS