Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyandang DUN Lunas tak pertahan kerusi, mahu fokus sebagai MP

Penyandang DUN Lunas di Kedah, Azman Nasrudin mengesahkan dia tidak akan mempertahankan kerusi itu dalam PRN akan datang.

Bercakap dengan Malaysiakini, dia yang keluar PKR untuk menyertai Bersatu berkata dia ingin memberi tumpuan di kawasan Parlimen Padang Serai yang dimenanginya dalam PRU lalu.

"(Saya) tak bertanding (di Lunas). Tak akan bertanding juga di kerusi lain.

"Cukuplah jadi ahli parlimen. Ini kerja, amanah dan tanggungjawab.

"Saya akan bantu dengan kempen untuk mana-mana calon yang memerlukan," katanya ketika dihubungi semalam.

Azman menjadi wakil rakyat Lunas selama dua penggal.

Pada PRU14, dia bertanding di bawah tiket PKR dan menewaskan calon dari PAS dan MIC dengan majoriti 13,813 undi.

Pada 12 Mei 2020, dia dan penyandang DUN Sidam Robert Ling mengumumkan keluar daripada PKR.

Robert Ling

Ketika itu, mereka berkata akan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong PN dan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.

Tindakan itu menyebabkan PH dan menteri besar ketika itu, Mukhriz Mahathir hilang majoriti.

Mereka menyertai Bersatu pada 6 September tahun yang sama.

MP PN tak akan bertanding

Sementara itu, Pengerusi Bersatu Kedah Mohd Suhaimi Abdullah menjelaskan keputusan Azman itu selepas persetujuan ahli parlimen PN yang menang dalam PRU15 tidak akan bertanding di peringkat negeri kali ini.

"Kecuali kalau ada kes tertentu...Kita bagi peluang sebanyak mungkin (kepada calon lain). Semua calon boleh menang pilihan raya dan ada kelayakan.

"Jadi bagi mereka yang memenuhi (kriteria) kelayakan, kita bagi peluang," katanya.

Ditanya jika Ling akan dicalonkan untuk mempertahankan kerusi DUN Sidam, Suhaimi mengakui nama Ling ada disebut beberapa kali.

"Setakat ini Ling masing dengan Bersatu dan bersekutu dengan PN.

"Dia masih disebut-sebut (untuk bertanding) tetapi keputusan (akan dibuat) kepimpinan," katanya lagi.

Pada PRU14, Ling menang di Sidam dengan majoriti 10,860 undi, menewaskan calon dari PAS, Gerakan dan Parti Rakyat Malaysia.

Bagaimanapun pada PRU15 dia tewas dengan Taufiq Johari dari PH di kerusi Parlimen Sungai Petani.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS