Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kekal dengan pendiriannya dalam isu pelupusan hutang peneroka Felda dan menegaskan akan berdepan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di mahkamah.
“Hari ini dia saman saya, dia kata saya bohong. Tak apa kita pergi mahkamah, nanti mahkamah kita harap akan buat keputusan adil, siapa salah tetap salah.
“Saya nak beritahu saya tidak bersalah. Tapi ini perdana menteri namanya Anwar Ibrahim bodoh, tak faham yang mana satu bayar hutang mana satu sukuk.
“Anwar, itu bon. Yang ini penghapusan hutang peneroka Felda tak sama. Tapi dia tak mengaku salah,” katanya ketika menyampaikan ceramah di program Munajat Rakyat dan Pakat Pertahan PAS Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.
Muhyiddin dan Anwar kini terlibat dalam perang mulut mengenai usaha siapa yang membolehkan pelupusan hutang RM8.3 bilion untuk peneroka Felda.
Skim itu dijanjikan oleh Muhyiddin pada 2021 tetapi Anwar berhujah bahawa ia hanya menjadi kenyataan pada tahun ini kerana dia telah mengatur dana untuk menyelesaikan masalah hutang Felda.
Bagaimanapun, Muhyiddin berhujah bahawa kedua-dua perkara itu tidak berkaitan menyebabkan Anwar memberikan dua dokumen yang didakwanya akan menunjukkan sebaliknya - perjanjian Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) dan surat terbitan sukuk.
Muhyiddin kemudian membalas dengan berkata dokumen yang dikeluarkan Kementerian Kewangan membuktikan Anwar tidak memahami dokumen yang ditandatanganinya.
Semalam, Anwar menghantar surat tuntutan kepada Muhyiddin dan memintanya membayar ganti rugi RM200 juta berhubung dakwaan fitnah yang dikaitkan dengan isu pelupusan hutang peneroka Felda.
Anwar juga meminta permohonan maaf daripada Muhyiddin dalam tempoh 24 jam, serta penarikan balik surat tuntutan Muhyiddin dan kenyataan yang dibuatnya berkenaan perkara itu.
Mengulas mengenai saman RM200 juta terhadapnya terhadapnya, bekas perdana menteri itu mendakwa Anwar tidak dapat membezakan antara penghapusan hutang dengan sukuk.
“Kita (ketika menjadi kerajaan) hapuskan hutang lapuk mereka sebanyak RM8.3 bilion. Tak perlu bayar lagi, dalam buku kira-kira dah tak ada lagi.
“Tahun 2021 kita dah laksanakan, saya tanya kepada kawan-kawan peneroka Felda mereka kata dah habis selesai. Tapi perdana menteri kata saya cakap bohong, Muhyiddin pandai bercakap saja. Siapa bohong?
“Saya tak pernah bohong, pak saya pun tok guru beritahu 'kau jangan bohong'. Memang pun kita tidak bohong, ada bukti. Jadi apabila dia (Anwar) kata saya yang salah, dia fitnah kepada saya, saya saman dia,” katanya lagi.
Pada 20 Julai lalu, Felda dalam kenyataan berkata tidak ada percanggahan antara apa yang dijanjikan Muhyiddin dan apa yang kemudiannya dinyatakan oleh Anwar.
Felda memaklumkan penghapusan sejumlah hutang peneroka dilaksanakan di peringkat agensi itu telah dibuat tanpa penyaluran peruntukan geran daripada Kerajaan Persekutuan pada 2021 serta 2022.