Paling Popular
Terkini

BN akan bertanding 108 kerusi dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos nanti.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Calon BN PRN ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur malam ini.

Ahmad Zahid berkata, 63 peratus calon yang dipertandingkan dalam enam PRN kali ini adalah muka baru.

"Insya-Allah BN akan letakkan 108 calon, daripada jumlah tersebut 63 peratus calon muka baru, 18 peratus penyandang sedia," katanya ketika berucap.

"Dengan menampilkan ramai muka baru dengan kelayakan akademik serta kalangan professional, BN menawarkan wajah-wajah segar yang Insya- Allah mampu menggalas amanah

dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

"Malah, barisan yang kita tampilkan adalah daripada kalangan yang memahami aspirasi Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kestabilan politik dapat dipertahankan," tambah Ahmad Zahid lagi.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung BN, Zambry Kadir.

Senarai nama calon-calon BN yang bertanding dalam enam PRN diumumkan Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

PRN kali ini menyaksikan buat kali pertama BN bertanding melalui kerjasama yang dijalankan bersama Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, meskipun prestasi BN agak muram pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, namun dia yakin memiliki peluang lebih baik dalam PRN.

Selain itu Ahmad Zahid mengingatkan jentera BN supaya tidak memfitnah serta mencaci pihak lawan ketika berkempen.

"Walaupun prestasi kita pada PRU ke-14 dan ke-15 lalu agak muram, saya yakin bersama dengan rakan-rakan politik Kerajaan Perpaduan, kita memiliki kelebihan kerana rangkaian sokongan kita semakin berkembang.

"Walaupun jumlah kerusi yang kita tandingi berkurangan daripada tradisi kita sebelum ini tetapi kita yakin dengan semangat perkongsian, ia berupaya menlonjakkan semula keberadaan parti kita," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS