Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zafrul tiada dalam senarai calon Umno - sumber

Ahli Majlis Tertinggi Umno Tengku Zafrul Abdul Aziz sebelum ini dispekulasi sebagai calon menteri besar Selangor seterusnya.

Bagaimanapun, Malaysiakini mendapat maklumat bahawa Umno mungkin tidak meletakkannya dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, sekali gus menafikan kemungkinan dia memegang jawatan eksekutif tertinggi negeri.

Menurut sumber dalam Umno dan Pakatan Harapan (PH), Zafrul (atas) pada mulanya diletakkan di kerusi Dusun Tua, tetapi namanya didakwa dikeluarkan daripada senarai pada saat-saat akhir.

“Ada rancangan untuk Zafrul bertanding di kerusi Dusun Tua. DAP juga telah bersetuju untuk memberi laluan kepada Umno supaya Zafrul boleh bertanding di sana,” kata sumber yang rapat dengan kepimpinan tertinggi Umno.

“Tetapi namanya tiada dalam senarai yang akan diumumkan malam ini,” kata sumber itu.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengumumkan calon gabungan itu untuk enam PRN akan datang dalam satu acara di Kuala Lumpur malam ini.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi

Sumber menyatakan bahawa kerusi Dusun Tua sebaliknya akan ditandingi oleh bekas Adun Semenyih Johan Abdul Aziz, yang merupakan timbalan ketua Umno Selangor.

Johan, yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, enggan mengulas, berkata "tunggu pengumuman malam ini."

Malaysiakini juga telah menghubungi Zafrul dan pembantunya untuk mendapatkan komen.

DAP tidak berpuas hati

Menurut sumber, rancangan awal adalah untuk Zafrul bertanding di Sungai Kandis, tetapi PKR didakwa enggan melepaskan kerusi yang disandangnya selama empat penggal berturut-turut.

Rancangan itu kemudiannya dipindahkan ke Dusun Tua, yang dipegang oleh wakil DAP.

Sumber daripada kedua-dua gabungan itu mendakwa selepas beberapa siri rundingan, DAP bersetuju memberi laluan kepada Umno di Dusun Tua selepas mengetahui rancangan itu adalah untuk Zafrul bertanding di sana.

Bagaimanapun, situasi menjadi suram selepas jentera parti DAP tempatan mengetahui Johan akan bertanding di situ yang menyebabkan mereka memboikot pelancaran jentera ‘Perpaduan’ PH-BN bagi kawasan Semenyih dan Dusun Tua pada Rabu.

Ini disahkan oleh pemimpin DAP Selangor Ong Kian Ming, yang berkata sukar untuk mereka menyokong Umno di Hulu Langat.

“Ketiadaan ketelusan dan kejujuran dalam komunikasi saya dengan seorang pemimpin utama Umno di Hulu Langat mengenai siapa yang akan bertanding di kerusi Dusun Tua dan Semenyih telah menyukarkan DAP di Hulu Langat untuk menyokong penuh calon Umno di dua kerusi DUN ini dalam PRN akan datang.

"Kepimpinan negeri DAP akan bertemu cawangan-cawangan di Hulu Langat untuk mendengar pendapat mereka dan membincangkan langkah-langkah seterusnya," katanya kepada Malaysiakini.

Pemimpin DAP Selangor Ong Kian Ming

Dusun Tua ialah kerusi majoriti Melayu dengan komposisi kira-kira 63 peratus pengundi Melayu, diikuti Cina (28 peratus), India (tujuh peratus), dan lain-lain (dua peratus).

Ia pernah menjadi kerusi tradisi Umno sehingga 2013 apabila Razaly Hassan dari PAS menang dalam pilihan raya umum ke-13, menewaskan penyandangnya Ismail Sani.

Razaly pula dikalahkan oleh Edry Faizal pada pilihan raya umum 2018 dengan majoriti 10,422 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS