Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Saiful gagal batal pertuduhan kes rasuah Jana Wibawa

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak permohonan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan untuk membatalkan dua pertuduhan rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Hakim Rozina Ayob petang ini menafikan notis usul bahawa dua pertuduhan terhadap bekas ketua penerangan Bersatu itu didakwa cacat.

Terdahulu pada 29 Mei, pasukan undang-undang Wan Saiful memfailkan permohonan menarik diri, memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).

Tidak seperti pembebasan penuh, DNAA memberi pilihan kepada pihak pendakwaan untuk mendakwa semula tertuduh atas kesalahan yang sama pada tarikh akan datang jika mereka memilih untuk berbuat demikian.

Rozina hari ini membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan lisan tambahan daripada peguam bela Amer Hamzah Arshad serta timbalan pendakwa raya Rasyidah Murni Azmi.

“Permohonan pihak pembelaan ditolak. Kita akan meneruskan perbicaraan penuh,” kata hakim sambil Wan Saiful melihat dari kandang tertuduh.

Rozina kemudian menetapkan perbicaraan selama lapan hari tahun depan untuk perbicaraan penuh kes iaitu 25 hingga 27 Mac serta 29 dan 30 April 2024.

Pihak pendakwaan dijangka memanggil 27 saksi untuk memberi keterangan terhadap Wan Saiful.

Pasukan pembelaan berhujah bahawa pertuduhan itu adalah tidak jelas dan menghalang mereka daripada menyediakan pembelaan alibi berhubung dua pertuduhan itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membalas bahawa pertuduhan dirangka secukupnya kerana ia cukup memberi notis kepada tertuduh mengenai jenis kesalahan yang didakwa.

Pada 21 Feb, Wan Saiful minta dibicarakan atas dua pertuduhan - pertama kerana meminta rasuah dalam jumlah yang tidak ditentukan dan kedua kerana menerima rasuah RM6.96 juta antara 8 Julai 2022 dan 30 Sept 2022.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dituduh meminta rasuah daripada individu bernama Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek "Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur" daripada kerajaan persekutuan.

Projek itu sepatutnya bernilai RM232 juta.

Pertuduhan kedua menuduh Wan Saiful menerima, melalui syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, wang RM6.96 juta daripada Nepturis sebagai dorongan untuk membantunya mendapatkan surat anugerah bagi projek yang sama.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Mahkamah jenayah menetapkan ikat jamin RM400,000 dan memerintahkan pasport Wan Saiful dirampas sementara menunggu penyelesaian kes.

Jana Wibawa atau “Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa”, merupakan program perangsang untuk kontraktor bumiputera susulan Covid-19.

Pentadbiran Muhyiddin Yassin memperkenalkannya pada November 2020.

Parlimen diberitahu minggu lalu bahawa pentadbiran semasa telah membekukan projek Jana Wibawa bernilai RM5.7 bilion, sementara menunggu siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS