Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayaran RM2 juta untuk bantu pengarah syarikat dekati Najib - saksi

Seorang saksi pendakwaan berkata bahawa bayaran RM2 juta pada 2017 kepada ahli perniagaan G Gnanaraja bertujuan untuk membantu seorang eksekutif syarikat mendekati perdana menteri ketika itu Najib Razak dan untuk mendapatkan projek masa akan datang.

Ibrahim Sahari, yang pernah menjadi pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), memberitahu demikian kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semasa perbicaraan rasuah hari ini terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dikaitkan dengan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Eksekutif syarikat yang dimaksudkan di sini ialah pengarah eksekutif kanan CZCSB Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, yang bersama Gnanaraja dan Ibrahim adalah saksi pendakwaan dalam kes rasuah terhadap Lim.

CZCSB ialah syarikat yang terlibat dalam projek terowong itu.

Semasa pemeriksaan balas oleh ketua peguambela Gobind Singh Deo pagi ini, saksi pendakwaan ke-29 Ibrahim mengesahkan apa yang dinyatakannya sebagai saksi kes penipuan berasingan terhadap Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Pasukan pembelaan berhujah bahawa terdapat bukti yang tidak ditampilkan kerana saksi seperti Ibrahim yang didakwa berkata di mahkamah Shah Alam bahawa RM2 juta itu adalah untuk sesuatu yang lain, manakala dalam perbicaraan mahkamah Kuala Lumpur tahun lepas dia memberi keterangan bahawa Zarul memberitahu dia wang itu adalah rasuah untuk Lim.

Kes di Shah Alam adalah atas aduan Zarul yang dibuat kepada SPRM pada Januari 2018 bahawa Gnanaraja didakwa menipunya daripada RM19 juta sebagai dorongan untuk membantu menggugurkan siasatan pengubahan wang haram terhadap Zarul.

Berikutan Gnanaraja didenda oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk pertuduhan alternatif di bawah Akta Syarikat 1965 pada 2020, dia menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap Lim.

Ibrahim juga bersetuju dengan Gobind bahawa adalah 'mustahil' bahawa bayaran RM2 juta - yang merupakan aspek penting dalam kes pendakwaan terhadap Lim - adalah untuk tertuduh.

Gobind: Adakah anda memberitahu mahkamah (Sesyen Shah Alam) bahawa tujuan RM2 juta itu adalah untuk membantu Zarul mengeratkan hubungannya dengan perdana menteri ketika itu (pada 2017) dan untuk mendapatkan projek masa depan?

Ibrahim: Betul.

Gobind: Mustahil RM2 juta itu untuk Lim Guan Eng?

Ibrahim: Betul.

Ibrahim bersetuju dengan Gobind bahawa bayaran RM2 juta itu tiada kaitan dengan Lim.

Apabila Gobind bertanya siapa perdana menteri semasa transaksi pembayaran RM2 juta antara Zarul dan Gnanaraja pada Ogos 2017, Ibrahim berkata ia adalah Najib.

Semasa pemeriksaan balas lanjut daripada Gobind, Ibrahim menjelaskan bahawa menjelang laporan SPRM dibuat terhadap Gnanaraja, Zarul telah mengadakan mesyuarat lembaga CZCSB - dihadiri Ibrahim - untuk membangkitkan isu Gnanaraja yang didakwa menipu Zarul daripada RM19 juta.

Ibrahim menjelaskan, semasa mesyuarat lembaga pengarah, mereka memutuskan untuk mengarahkan peguam mengeluarkan surat tuntutan kepada Gnanaraja untuk mendapatkan semula RM19 juta itu.

Gobind: (RM19 juta) Termasuk RM2 juta?

Ibrahim: Betul.

Semasa soal siasat Gobind, timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib mengemukakan bantahan, dengan alasan Ibrahim tidak boleh menjawab untuk orang lain, dalam kes ini adalah apa yang dikatakan Zarul semasa mesyuarat syarikat.

Bagaimanapun, hakim perbicaraan Azura Alwi membenarkan soalan Gobind dan jawapan Ibrahim dikekalkan.

Lewat hari ini, mahkamah jenayah menangguhkan prosiding untuk disambung semula pada 7 Ogos.

Di hadapan mahkamah jenayah di Kuala Lumpur, Lim menghadapi empat pertuduhan rasuah.

Satu pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16(A)(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk suapan RM3.3 juta sebagai dorongan untuk membantu syarikat milik Zarul untuk mendapatkan projek terowong dasar laut negeri pulau itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town, Pulau Pinang, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM, kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pertuduhan kedua, juga di bawah Seksyen 16(A)(a), menuduh Lim selaku ketua menteri Pulau Pinang ketika itu telah meminta daripada Zarul rasuah berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh syarikat itu sebagai suapan kerana membantu mendapatkan projek itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS