Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kira-kira 1,000 doktor hospital Lembah Klang akan dipindah - laporan
Diterbitkan:  Jul 20, 2023 10:03 PM
Dikemaskini: 2:03 PM

Pemindahan untuk penempatan tetap 4,200 pegawai perubatan menjelang 31 Julai dijangka memberi kesan kepada hospital awam utama, menurut portal berita kesihatan CodeBlue.

Ini berlaku kerana hampir satu perempat daripada pegawai perubatan berkenaan - kira-kira 1,000 - kini berpangkalan di hospital di Kuala Lumpur dan Selangor.

CodeBlue memetik sumber dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menyorot bahawa kemudahan itu dijangka kehilangan 300 pegawai perubatan, majoriti dikatakan akan dipindahkan ke Sabah dan Sarawak.

Sebagai balasan, sumber itu dilaporkan berkata HKL - hospital tertiari terbesar di negara ini dengan 53 jabatan dan unit - hanya dijangka menerima 100 penempatan pegawai perubatan melalui sistem eHousemen.

Laporan itu turut memetik seorang lagi doktor HKL yang dikenali dengan nama samaran sebagai Dr Daniel. Nama samaran itu terpaksa diguna kerana larangan kepada penjawat awam untuk mengulas.

Dia berkata daripada melihat kepada penumpuan tinggi doktor kerajaan di Lembah Klang berbanding negeri lain, penunjuk penting ialah "nisbah doktor kepada pesakit".

“Saya rasa kita perlu melihat nisbah doktor kepada pesakit. Kita bukan sahaja bercakap tentang berkhidmat kepada penduduk tempatan, tetapi juga orang asing.

“Di HKL, di jabatan kecemasan saja, kami mempunyai kira-kira 100 pegawai perubatan, dan mungkin ada yang berhujah bahawa ia sudah merupakan jumlah yang besar.

“Secara keseluruhannya, HKL mempunyai sembilan hingga 10 zon kecemasan yang memerlukan perhatian.

"Jika bilangan pegawai perubatan yang kita ada sekarang adalah 'besar', kita tidak akan melakukan dua atau tiga syif," katanya.

Kehilangan lebih ramai doktor

Di Selangor, CodeBlue memetik data awal Kementerian Kesihatan (KKM) yang menyatakan Hospital Selayang dijangka kehilangan paling ramai doktor kontrak dengan 120 pegawai perubatan untuk penempatan tetap.

Ini diikuti Hospital Serdang (107), Hospital Sungai Buloh (104), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang (93), dan Hospital Ampang (55).

Di Hospital Selayang, CodeBlue berkata doktor melaporkan bahawa hospital itu tidak menjangkakan ketibaan mana-mana pegawai baru, kerana ia tidak dimasukkan sebagai pilihan dalam sistem eHousemen yang boleh diakses dari 9 hingga 24 Jun.

Sebab pengecualian Hospital Selayang tidak diketahui, menurut portal itu.

Kemudahan lain yang terjejas termasuk Hospital Shah Alam (45), Hospital Kajang (40), Hospital Banting (36), Hospital Cyberjaya (17), Hospital Tanjong Karang (11), Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di Sabak Bernam (7), Hospital Kuala Kubu Bharu (5), dan Hospital Orang Asli Gombak (2).

Menurut CodeBlue, doktor di HKL dan Hospital Selayang telah menyatakan kebimbangan yang kuat tentang kemungkinan peningkatan beban kerja pada kakitangan sedia ada yang sudah berdepan dengan keletihan dan kerap meletak jawatan.

Ini berlaku walaupun terdapat sekatan ke atas pengurangan perkhidmatan kerana kebanyakan hospital kerajaan Lembah Klang juga berfungsi sebagai pusat rujukan untuk penyakit tertentu, dengan HKL menjadi pusat rujukan utama negara.

Selain hospital, CodeBlue melaporkan bahawa 59 lagi pegawai perubatan yang kini berkhidmat di klinik kesihatan awam di Selangor turut terlibat dalam pemindahan itu.

Daripada jangkaan pemindahan dari kemudahan kesihatan Lembah Klang, CodeBlue berkata Sarawak dan Sabah disenaraikan sebagai destinasi teratas untuk penempatan tetap, dengan 193 daripada jumlah 642 pegawai perubatan dari hospital Selangor.

Sebilangan besar juga ditempatkan di Pahang, selain doktor diberi pilihan untuk ditempatkan secara kekal di hospital mereka sekarang.

Di Selangor, portal itu melaporkan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) mempunyai sekurang-kurangnya 43 pegawai perubatan yang mengekalkan jawatan mereka di hospital itu.

Sebaliknya, ia melaporkan bahawa tiada pegawai untuk penempatan tetap di Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh mempunyai pilihan untuk kekal, walaupun kedua-dua hospital itu menghadapi salah satu aliran keluar tenaga kerja yang paling teruk.

Menjelaskan pergerakan itu, CodeBlue memetik seorang doktor kanan berkata pemindahan ramai pegawai perubatan Lembah Klang ke negeri lain didorong oleh “lebihan” doktor kerajaan di rantau ini, digabungkan dengan pengembangan perkhidmatan di negeri lain.

“Apa yang berlaku KKM akan menilai keperluan semua negeri termasuk bilangan pegawai perubatan yang diperlukan.

"Kita harus ingat bahawa banyak perkhidmatan merentasi semua disiplin perubatan telah berkembang, semuanya memerlukan lebih ramai pegawai perubatan," kata Dr Lokman (nama samaran).

Doktor itu berkata pembesaran itu termasuk menampung permintaan daripada hospital daerah yang lebih kecil untuk ditetapkan sebagai hospital pakar, contohnya di Cameron Highlands dan Pekan di Pahang, serta di beberapa daerah Sabah.

Lapor diri dulu sebelum buat rayuan

Dalam perkembangan sama, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menasihatkan doktor yang dilaporkan enggan bertugas di Sarawak untuk lapor diri untuk bertugas dahulu dan membuat rayuan kemudian.

Presiden MMA Dr R Muruga Raj mengingatkan doktor tentang tugas dan tanggungjawab mereka, serta peraturan dalam pelantikan mereka.

“MMA menggesa doktor yang berkenaan menerima tawaran itu dan melaporkan diri untuk bekerja di sana.

“Rayuan boleh dihantar tetapi terima dahulu jawatan tersebut dan lapor diri untuk bertugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muruga Raj menjawab soalan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni yang berkata lebih 200 doktor yang ditawarkan jawatan kontrak untuk berkhidmat di Sarawak sama ada menolak tawaran itu atau gagal melaporkan diri.

Menurut Borneo Post, doktor berkenaan adalah antara 800 pengamal kesihatan yang ditawarkan bekerja di negeri itu.

Sambil mengakui Sarawak memerlukan lebih ramai doktor, Muruga Raj turut menggesa Kementerian Kesihatan mempertimbangkan rayuan yang dibuat oleh doktor dengan alasan yang sah.

"200 doktor atau 25 peratus adalah kadar penolakan yang tinggi. Bagaimanapun, kami melihat 75 peratus (600 doktor) menerima jawatan mereka sebagai berita yang menggalakkan.

"MMA mengambil maklum usaha Kementerian Kesihatan dan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dalam mewujudkan jawatan ini dan mengalu-alukan langkah itu," katanya.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS