Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk dakwa harimau kumbang ceroboh kebun baham ternakan

Sejak kira-kira dua minggu lalu, penduduk sekitar Kampung Batu Hitam, dekat Kuantan, Pahang, berada dalam kebimbangan berikutan kehadiran binatang buas dipercayai harimau kumbang di kawasan mereka.

Mereka mendakwa kemunculan harimau kumbang itu juga mengakibatkan banyak haiwan ternakan penduduk menjadi mangsa.

Dua daripada penternak kambing jenis biri-biri di kawasan terbabit mendakwa kerugian puluhan ribu ringgit sejak kehadiran binatang buas itu.

Seorang penternak kambing, Azmi Manan, 62, berkata, haiwan buas itu dipercayai memasuki kebunnya pada waktu malam dan meninggalkan kesan tapak kaki dalam kawasan kebun yang diusahakannya.

Katanya, kelibat harimau kumbang pernah dilihat penduduk kira-kira lima tahun lalu, namun ketika itu haiwan berkenaan tidak mengganggu binatang ternakan penduduk.

"Ini kali pertama binatang buas menyerang haiwan ternakan penduduk dan sejak dua minggu lalu, hampir setiap malam lebih kurang tujuh hingga lapan ekor kambing mati dibaham harimau kumbang itu," katanya ketika ditemui di Kampung Batu Hitam, hari ini.

Azmi berkata, pada awalnya dia menyangkakan kejadian itu berpunca daripada serangan anjing liar yang memasuki kebunnya.

Namun, selepas melihat kesan tapak kaki ditinggalkan binatang buas itu, dia percaya kejadian berkenaan disebabkan serangan harimau kumbang.

"Kira-kira 40 ekor kambing saya dah terkorban dalam kejadian serangan ini, semuanya memang bukan (disebabkan) anjing liar kerana kebanyakan organ dalaman kambing 'hilang' dipercayai dimakan binatang buas itu," katanya lagi.

Seorang lagi penternak, Wan Mohd Suffian Wan Mohamed, 47, memberitahu, dia mengesyaki kejadian itu berpunca daripada harimau kumbang selepas melihat keadaan bangkai kambing yang mati.

"Jiran sebelah (Azmi) ada bercerita mengenai harimau kumbang itu dan saya terus dapatkan pengesahan daripada pejabat Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara), mereka (Perhilitan) cakap kalau jenis makan dan tinggal, itu adalah harimau," katanya yang turut mengalami kerugian selepas kira-kira 50 ekor kambing miliknya menjadi mangsa.

Sementara itu, Penghulu Mukim Beserah, Nasaruddin Ahmad memaklumkan, penduduk terlibat dalam kejadian itu sudah membuat laporan kepada pihak Perhilitan.

"Mereka (Perhilitan) pun sudah datang dan memasang perangkap di kawasan hutan berhampiran kampung ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS