Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara saman fitnah Guan Eng terhadap Muhyiddin ditetapkan Julai 2024

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan lima hari pada Julai tahun depan untuk perbicaraan penuh kes saman fitnah bekas menteri kewangan Lim Guan Eng terhadap bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Mahkamah menetapkan tarikh 15 hingga 19 Julai 2024 untuk perbicaraan sivil berhubung dakwaan bahawa Lim terlibat dalam membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

Peguam Lim Guok Ngek Seong mengesahkan kepada media mengenai tarikh perbicaraan di hadapan hakim Roz Mawar Rozain.

Menurutnya mahkamah mengarahkan pihak-pihak terlibat memfailkan dokumen pra-perbicaraan yang lengkap sebelum 30 Ogos tahun ini.

Tambah peguam itu, pengurusan kes ditetapkan di hadapan Roz Mawar pada 4 Okt tahun ini.

Pada 27 Mac lalu, Lim memfailkan writ saman terhadap Muhyiddin.

Saman sivil itu berhubung dakwaan bekas perdana menteri itu bahawa Lim bertanggungjawab ke atas kehilangan status pengecualian cukai membabitkan Yayasan Albukhary - yang diketuai oleh hartawan Syed Mokhtar Albukhary - semasa tempoh plaintif menerajui kementerian kewangan.

Melalui pernyataan pembelaan pada April lalu, Muhyiddin berkata Lim perlu membuktikan di mahkamah bahawa Kementerian Kewangan tidak membatalkan status pengecualian cukai berkenaan.

Presiden Bersatu itu, yang merupakan perdana menteri ketika pentadbiran PN dari 2020 hingga 2021, menyatakan keraguannya terhadap keabsahan kenyataan Kementerian Kewangan yang dikeluarkan pada Mac, yang mengatakan bukan kementerian mahupun pegawainya yang telah membatalkan pengecualian itu.

Pengerusi PN itu juga mendakwa kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen - bahawa tiada rekod Lim telah membatalkan status pengecualian cukai yayasan itu - adalah "tidak relevan sama sekali" dan untuk mengalihkan perhatian semata-mata supaya pengerusi DAP itu tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap keputusan dibuat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dalam jawapan balas kepada pernyataan pembelaan, Lim yang merupakan menteri kewangan dari 2018 hingga 2020, mempersoalkan mengapa Muhyiddin tidak membangkitkan isu dakwaan pembatalan pengecualian cukai itu sedangkan mereka adalah sebahagian daripada kabinet Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Muhyiddin merupakan menteri dalam negeri ketika pentadbiran PH dari 2018 hingga 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS