Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Selayang gesa polis siasat dakwaan penculikan aktivis pelarian Myanmar
Diterbitkan:  Jul 20, 2023 2:12 PM
Dikemaskini: 6:12 AM

Ahli Parlimen Selayang William Leong menggesa polis menyiasat segera dakwaan penculikan aktivis pelarian Myanmar Thuzar Maung dan keluarganya dari rumah mereka di Ampang Jaya pada 4 Julai.

Leong, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi, berkata sekiranya kurang perkembangan positif daripada penyiasatan itu, ia akan memberi gambaran buruk berhubung keselamatan di Malaysia.

“Dilaporkan bahawa Thuzar Maung, suaminya Saw Than Tin Win, anak perempuan Poeh Khing Maung (16 tahun), dan anak lelaki Thukha Maung (17 tahun) dan Aung Myint Maung (21 tahun), telah diculik oleh orang tidak dikenali dari kediaman mereka di 26 Jalan UP 3/F Ukay Perdana, Ampang Jaya,” kata Leong dalam satu kenyataan hari ini.

"Disebabkan dia menjadi aktivis dengan Jawatankuasa Pekerja Warga Asing Myanmar dan aktivitinya dalam mempromosikan demokrasi yang lebih besar di Myanmar, saya bimbang penculikan itu berkaitan dengan aktiviti sosial dan politiknya bagi pihak pelarian, warga asing, dan demokrasi di Myanmar.

"Peristiwa yang berlaku di Kuala Lumpur itu telah memberi kesan yang buruk terhadap keselamatan seseorang individu di negara ini, lebih-lebih lagi individu asing," kata ahli parlimen PKR itu.

Pada 17 Julai, Human Rights Watch dalam laporannya mengenai insiden itu menggambarkan Thuzar sebagai penyokong lantang gerakan pro-demokrasi Myanmar.

Mengenai dakwaan penculikan, Human Rights Watch mendakwa bahawa pada kira-kira 4.30 petang pada 4 Julai, sebuah kereta dengan pemandu dan penumpang yang tidak dikenali telah memasuki komuniti berpagar tempat Thuzar dan keluarganya tinggal.

Kereta yang sama dan dua lagi milik keluarga Thuzar Maung dikatakan dilihat meninggalkan perkarangan itu hampir tiga jam kemudian, dan sejak itu, seluruh keluarga berkenaan tidak dapat dihubungi.

Mengulas lanjut, Leong berkata hak keselamatan dan hak untuk hidup tanpa rasa takut adalah hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, hak-hak ini harus dilindungi, dan polis dan agensi keselamatan kita mesti mengambil langkah aktif untuk memastikan keselamatan semua warga asing dan tempatan di negara kita,” tegasnya.

Dilaporkan bahawa Thuzar Maung melarikan diri dari Myanmar ke Malaysia pada 2015 untuk mengelakkan keganasan yang semakin meningkat terhadap umat Islam.

Kesemua lima ahli keluarga itu diiktiraf oleh Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pelarian di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS