Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mencadangkan supaya menarik balik gelaran Laksamana Pertama (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diberikan kepada Muhammad Sanusi Md Nor.
Ini selepas menteri besar sementara itu didakwa menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sanusi dilantik sebagai laksamana pertama kehormat Simpanan Sukarelawan Tentera Laut Diraja Malaysia pada 2021, tetapi Saifuddin menegaskan bahawa Sultan Selangor merupakan Kapten Yang Dipertua TLDM.
"Sultan Selangor tu memang TLDM bawah naungannya. Jadi Datuk Sanusi dia kehormat, dia bukan tentera laut tapi dia dapat kehormat punya. Sultan Selangor itu adalah ketua dia.
"Tiba-tiba hang pi hina tuanku, jadi saya ingat mungkin sampai masanya Majlis Angkatan Tentera semak balik hak kehormat Sanusi barangkali sampai masa tarik baliklah.
"Cabut tu, pasal tak hormat dengan Sultan Selangor,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya parti bagi kawasan DUN Suka Menanti.
Sanusi ketika berceramah pada 11 Julai lalu didakwa berkata kesultanan Kedah adalah satu-satunya di negara ini yang mempunyai susur galur keturunan yang tidak putus-putus berbanding kesultanan lain dan mempersoal pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar untuk mengetuai pentadbiran Selangor.
Ini dilihat sebagai satu penghinaan kepada Sultan Selangor, yang menyebabkan aduan dibuat oleh Dewan Diraja Selangor.
Walaupun meminta maaf dan menjelaskan ucapannya dipetik di luar konteks, namun Pejabat Diraja Selangor kemudian menyatakan Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa isu kenyataan Sanusi yang didakwa menghina baginda belum selesai.
Pada Selasa, Sanusi dihadapkan ke mahkamah dan turut berdepan pertuduhan hasutan berasingan kerana kenyataannya mengenai Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, Sanusi tidak mengaku bersalah dan meminta dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan.
'Mencurigakan, pekerja MBI warga China'
Sementara itu, Saifuddin sekali lagi menggesa Sanusi menjelaskan peranan dua warga China yang dikatakan dikaitkan dengan projek nadir bumi Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah).
Dakwanya, Sanusi telah menulis surat kepada menteri dalam negeri ketika itu Hamzah Zainudin untuk memohon Pas Lawatan Ikhtisas (visa profesional) untuk 10 jurutera dan 21 pekerja mahir dari China untuk bekerja dengan MBI Kedah.
Ini kononnya atas kepakaran mereka dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) untuk membantu MBI Kedah dalam penerokaan REE.
Saifuddin menyifatkan kedua-dua pekerja yang ditaja MBI Kedah itu sebagai "mencurigakan", kerana seorang telah hilang manakala seorang lagi ditahan awal tahun ini kerana menceroboh hutan simpan bersama lebih 380 beg bijih nadir bumi.
"Eh ini bukan eksplorasi lah. Ini curi," kata Saifuddin.
Antara lain, Saifuddin menuntut penjelasan Sanusi tentang kepakaran mereka, skop kerja, tempoh pekerjaan, dan imbuhan mereka.
Dia juga menuntut Sanusi menjelaskan seorang pekerja warga China yang menghilangkan diri itu.
Semalam, SPRM dilaporkan menahan seorang pegawai kanan MBI Kedah dan seorang pengarah syarikat bagi memudahkan siasatan berhubung dakwaan kecurian sumber REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, Kedah.
Pada Februari lalu, 52 suspek ditahan di kawasan itu berhubung aktiviti perlombongan haram di hutan simpan berkenaan.