Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah persoal alasan polis tahan Sanusi jam 3 pagi
Diterbitkan:  Jul 19, 2023 12:43 PM
Dikemaskini: 4:43 AM

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mempersoalkan penjelasan Ketua Polis Negara Razarudin Husain berhubung penangkapan Muhammad Sanusi Md Nor yang dilakukan sekitar jam 3 pagi semalam.

Dalam video yang dimuat naik di laman Facebook, Hamzah menganggap sangat pelik apabila Razarudin berkata pihaknya gagal menghubungi Sanusi kerana menteri besar sementara Kedah itu sentiasa ditemani pengawal peribadi yang juga merupakan anggota polis.

"Saya merasa amat pelik sekali adalah kerana beliau seorang menteri besar dan mempunyai pengawal peribadi, yang juga datangnya daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia).

“Tidakkah sesuatu yang amat aneh sekali apabila polis sendiri mengatakan mereka tidak dapat menghubungi Sanusi?

“Ini adalah jawapan yang tidak masuk akal sama sekali kerana pihak polis mempunyai seorang (anggota) yang diletakkan di sebelah menteri besar untuk menjadi pengawal peribadi, untuk mengawal keselamatan beliau.

“Boleh tanya terus di mana Sanusi, pada bila-bila masa,” katanya.

Sanusi ditahan di sebuah hotel di Mont Kiara, Kuala Lumpur pagi semalam dan kemudian didakwa atas dua pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 selepas memberi komen berhubung peranan istana dalam pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan.

Semalam Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis bertindak menahan Sanusi pada awal pagi selepas beberapa panggilan telefon yang dibuat kepadanya dan pegawainya ditolak serta kesukaran untuk mengenal pasti lokasinya.

Mengulas lanjut, Hamzah mendakwa wujud tangan ghaib yang mengarahkan penangkapan Sanusi pada awal pagi semalam selain mahu memalukan pemimpin tertinggi PN.

“Dulu pernah berlaku ada pemimpin besar negara sendiri yang telah menyalahgunakan kuasa dan disabitkan serta dihukum penjara, mengarahkan polis untuk kepentingan beliau.

"Jadi, janganlah sekali lagi perkara ini berlaku," katanya.

Dia yang juga setiausaha agung Bersatu berkata keadaan itu tidak boleh dibiarkan terjadi.

Bagaimanapun Hamzah mengakui keadaan itu tidak semestinya benar-benar berlaku dan dia tidak membuat sebarang tuduhan.

"Saya tidak membuat tuduhan. Saya katakan ini boleh berlaku dan ia pernah berlaku sebelum ini.

“Tidak mustahil perkara ini berulang," katanya tanpa menyebut nama pemimpin tertinggi negara yang terlibat.

Namun, ia dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada tahun 1999, Anwar dihukum penjara enam tahun selepas disabitkan bersalah atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dengan campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.

Pada 2018, dia mendapat pengampunan untuk kes tersebut dan kes lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS