Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Hapuskan RM50, RM100 untuk perangi rasuah, wang palsu

Rasuah dan penggubahan wang haram telah menjadi masalah yang berpanjangan dan seakan sukar untuk dihentikan. Kegiatan ini telah sebati dengan peredaran sistem ekonomi kita dan telah merosakkan sistem politik dan ekonomi negara.

Kerajaan dilihat begitu komited dalam usaha mereka untuk membanteras rasuah dari akar umbi dengan perlaksanaan pelbagai dasar-dasar yang baru bagi memastikan rasuah dan penggubahan wang haram tidak berlaku di masa hadapan.

Namun, kerajaan juga harus memikirkan tindakan yang harus diambil bagi memperoleh kembali dana kerajaan yang telah lolos akibat dari aktiviti rasuah, penggubahan wang haram, duit palsu, transaksi haram dan bawah tanah serta pendapatan yang tidak diisytihar secara sah bertujuan untuk mengelak dari dikenakan cukai.

Untuk mengatasinya, beberapa langkah drastik harus diambil. Salah satu pendekatan yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan adalah dengan menjalankan demonetisasi (pelucutan hak wang) wang kertas RM50 dan RM100, mirip dengan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri India pada tahun 2016.

Pada tahun 2016, Perdana Menteri India, Narendra Modi, melancarkan demonetisasi dengan mencabut dari peredaran mata wang kertas bernilai 500 dan 1000 rupee. Langkah ini bertujuan untuk memerangi rasuah, perdagangan gelap/bawah tanah, dan wang palsu.

Demonetisasi tersebut dilaksanakan hanya satu kali, diumumkan pada 8 November 2016 dan dilaksanakan secara segera. Meskipun langkah ini bertujuan untuk membenteras rasuah, kesannya terhadap ekonomi dan masyarakat India tetap menjadi kontroversi dan terdapat beberapa tentangan yang diketuai oleh politik pembangkang dalam prosespenggantian wang kertas yang dibatalkan.

Penghapusan mata wang tertentu

Demonetisasi ialah tindakan melucutkan status unit mata wang sebagai mata wang yang sah. Ia berlaku apabila terdapat perubahan dalam mata wang negara. Bentuk wang semasa yang ditarik daripada edaran dan dihentikan, akan digantikan dengan wang kertas baru. Kadangkala, sesebuah negara menggantikan sepenuhnya mata wang lama dengan mata wang baru.

Demonetisasi melibatkan penghapusan mata wang tertentu dari peredaran. Dalam konteks ini, cadangannya adalah wang kertas RM50 dan RM100 akan dibatalkan sebagai mata wang sah kerana nilai matawang ini seringkali digunakan dalam transaksi rasuah, peredaran wang palsu, jual beli bawah tanah dan transaksi haram. Pemilik wang ini akan mengalami kesulitan dalam mengubahnya menjadi mata wang yang sah dan akan menjadikannya langkah yang sangat efektif dalam mengurangi aliran wang haram dan memutuskan rantai rasuah.

Langkah ini akan memaksa mereka yang memiliki wang tersebut secara tidak sah, termasuk rasuah dan aktiviti haram lainnya untuk menukar mata wang tersebut atau mendepositkannya ke dalam akaun bank.

Kerajaan akan dengan mudah menjejak wang yang ditukar atau disimpan ini dan pihak LHDN dapat membuat siasatan jika berlaku simpanan atau penukaran yang melebihi dari kadar kemampuan seseorang itu. Kerajaan juga dapat mengutip kembali cukai yang telah banyak lolos akibat dari aktiviti perniagaan yang tidak diisytihar secara sah.

Meskipun ada yang menjadikan emas sebagai alat pertukaran bagi aktiviti haram/bawah tanah, namun segelintir besar masih lagi menggunakan matawang sebagai alat utama transaksi ini.

Dari sudut percukaian pula, dijangka sekurang-kurangnya lebih separuh dari nilai cukai yang telah lolos akibat dari pendapatan yang tidak diisytihar ini akan dapat dikutip semula oleh kerajaan. Pendapatan yang dikutip semula ini dapat digunakan bagi membiayai kos-kos pembangunan negara serta dapat menampung kos pentadbiran negara.

Mendorong penggunaan sistem digital

Di sudut yang lain pula, demonetisasi dapat mendorong masyarakat dan sektor ekonomi untuk beralih ke sistem transaksi digital. Negara kita sudah dilengkapi dengan ssstem perbankan digital yang komprehensif dan bersedia untuk mengurus kewangan negara secara digital.

Dengan pelaksanaan demonetisasi ini, akan berlaku penghijrahan secara besar-besaran oleh pemilik wang tunai ke dalam akaun bank mereka. Bagi mereka yang masih lagi mengamalkan cara konvensional untuk menyimpan wang, mereka akan terdorong untuk membuat akaun bank dan mendepositkan wang simpanan tunai mereka bagi memastikan nilai matawang itu tidak luput.

Langkah ini secara tidak langsung akan mengurangi transaksi wang tunai yang menjadi sumber utama kegiatan rasuah dan penggubahan wang haram. Penggunaan sistem pembayaran secara digital akan mudah dikesan secara digital aliran wang tersebut, meningkatkan transparensi, dan mengurangi amalan rasuah kerana pemilik wang takut dapat dijejaki aliran wang tunai tersebut.

Kesimpulan

Memerangi rasuah dan penggubahan wang haram di Malaysia memerlukan tindakan berani dan inovatif. Demonetisasi wang kertas RM50 dan RM100, seperti yang dilakukan di India, dapat menjadi langkah efektif untuk memotong rantaian rasuah dan aliran wang haram. Namun, langkah ini harus didukung oleh infrastruktur digital yang kuat dan kerjasama yang erat antara pihak bank dan kerajaan. Dengan tindakan yang tepat dan penguatkuasaan yang tegas, demonetisasi dapat membantu membina sistem ekonomi yang lebih bersih dan mampan di Malaysia.

Meskipun demonetisasi dapat memberikan manfaat yang signifikan dalam memerangi rasuah dan penggubahan wang haram, langkah ini juga berpotensi untuk menimbulkan kacau bilau dalam sistem kewangan dan perbankan negara. Masyarakat yang tidak memiliki akses ke perbankan atau infrastruktur digital mungkin menghadapi kesulitan dalam mengakses dan melakukan transaksi kewangan.

Oleh itu, kerajaan harus memastikan bahawa langkah ini tidak memberikan beban tambahan kepada mereka yang tidak memiliki akses tersebut. Demonetisasi ini seharusnya dijalankan dengan rapi serta membuat persediaan awal supaya tidak berlaku kacau bilau dalam sistem ekonomi negara. Jangka masa yang cukup seharusnya diberikan supaya proses pertukaran dan penyimpanan wang berlaku secara sistematik dan mudah.


ABD MUTALIB ABD GAPAR ialah seorang pemerhati bebas dan pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS