Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan Anwar selamatkan Umno cuma cerita rekaan - Annuar
Diterbitkan:  Jul 18, 2023 9:12 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Dakwaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyelamatkan Umno daripada diharamkan hanyalah “cerita rekaan” menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata bekas setiausaha Agung Umno, Annuar Musa.

Sebaliknya, Annuar mempertahankan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin daripada tuduhan cuba mengharamkan Umno seperti didakwa pengerusi PH itu.

Malah katanya dia telah mengesahkan perkara itu dengan Dr Mahathir dan Muhyiddin sendiri.

"Kita tahu jika benar Umno nak diharamkan, sudah lama ia boleh diharamkan, kerana begitu banyak kesalahan Umno yang melanggar peraturan ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), terutama berhubung Borang 9 sepanjang tahun 2012-2018. Tetapi ROS tidak pun berbuat demikian.

"Malah sudah terbukti TSMY (Muhyiddin) yang membawa Umno menjadi kerajaan, bukan mengharamkan, malah akhirnya menyerahkan kerajaan pimpinannya kepada Umno dengan DSIS (Ismail Sabri Yaakob) menjadi PM.

"Jadi pada saya, cerita DS Anwar "selamatkan Umno dari diharamkan" bukan saja telah dinafikan sendiri Tun dan TSMY, malah ini hanyalah rekaan umpama Ajinomoto menyedapkan cerita, menjelang PRN Ogos ini," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Kelmarin, Anwar juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendakwa Dr Mahathir dan Muhyiddin merancang mengharamkan Umno ketika berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dia juga mendakwa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menjadi sasaran serangan lawan kerana mengetahui perancangan pembangkang untuk mengharamkan parti itu sebelum ini.

"Saya cerita pengalaman bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pakat untuk haramkan Umno, saya ke rumah Muhyiddin, memang tegang. Saya lawan Umno masa itu, tetapi saya tak setuju haramkan Umno.

"Umno ada sejarah sendiri, sejarah perjuangan kebangsaan, ini parti ibu bapa saya. Saya beza pendapat, tapi haramkan itu bukan penyelesaian. Kita tak boleh padam sejarah, alasan apa nak haramkan?

Semalam Ahmad Zahid membidas Annuar yang disifatkan tidak “tahu apa-apa” berkait hal ehwal parti itu walaupun pernah memegang jawatan sebagai setiausaha agung.

Menyifatkan bekas ahli Parlimen Ketereh itu sebagai “kaduk naik junjung”, Zahid berkata hati Annuar tidak pernah bersama Umno sepanjang memegang jawatan itu.

Sebaliknya, katanya, Annuar cenderung bersama rakan di “sebelah sana”, merujuk kepada Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin.

Dalam pada itu Annuar mempersoalkan jika benar Anwar penyelamat Umno, kenapa Zahid tidak menyokong usaha mengangkat Anwar sebagai perdana menteri semasa berlaku krisis politik 'Langkah Sheraton' pada 2020.

"Paling penting, jika benar Anwar yang menyelamatkan Umno daripada diharamkan pada tahun 2019, mengapa Zahid tidak menyokong Anwar menjadi PM semasa berlaku Langkah Sheraton.

"Sebaliknya (Zahid) menyokong Tun M dan kemudiannya menyokong TSMY jadi PM? Di mana logiknya cereka Anwar dan Zahid ini," soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS