Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Penahanan Sanusi imbas kembali tangkapan ke atas Anwar pada 1998'

Penangkapan Menteri Besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada jam tiga pagi seperti mengimbas kembali penahanan Anwar Ibrahim pada 1998, kata penganalisis.

Beberapa penganalisis yang dihubungi Malaysiakini setuju bahawa penangkapan itu, serta pendakwaan terhadap Sanusi di bawah Akta Hasutan, hanya akan meningkatkan popularitinya.

Pensyarah politik Universiti Sunway Wong Chin Huat berkata, penangkapan yang dibuat di tengah malam itu menjadikan Sanusi seolah-olah seorang mangsa penindasan politik.

"Polis tidak perlu menangkapnya di tengah malam. Dia menteri besar (sementara), dia tak akan melarikan diri. Ini dilihat sebagai satu salah guna kuasa. Jika dia tidak muncul di mahkamah, polis boleh buru dia kemudian.

"Malangnya, ia mengingatkan orang terhadap apa yang dilalui Anwar pada 20 September 1998.

"Saya tak akan tuduh yang ini arahan Putrajaya atau menteri, tetapi kerajaan Madani akan membayar harga akibat perkara ini, kecuali mereka tahu bagaimana untuk meredakan arus (Gelombang Hijau) dalam empat minggu ini (menjelang PRN)," katanya kepada Malaysiakini.

Wong Chin Huat

Hari ini Ketua Polis Negara Razarudin Husain tindakan itu selepas beberapa panggilan telefon yang dibuat kepada Sanusi ditolak.

Razarudin berkata polis juga mengesan Sanusi di Kedah dan kemudiannya Kuala Lumpur, di mana dia dijadualkan hadir untuk program wawancara dengan Astro Awani, namun tidak menemuinya.

Hari ini Sanusi dihadapkan dengan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 atas ceramahnya pada 11 Julai lalu.

Dia mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan.

Wong barpandangan pendekatan keras pihak berkuasa dalam mengendalikan kes Sanusi hanya akan menjadikannya "wira lebih besar' di mata penyokongnya.

Katanya lagi, jika PH dan BN gagal menangani isu ini dengan baik, ia boleh menyebabkan keputusan PRN nanti berpihak kepada PN.

"ia menjadikan Sanusi seorang 'syahid' di mata penyokongnya.

"Anda tidak boleh tundukkan populis sepertinya melalui pendakwaan. Dia hanya akan jadi lebih popular. Orang melihat (Sanusi) sebagai seorang yang berani mencabar golongan berkuasa (establishment).

"Jadi saya risau jika ini tidak ditangani dengan baik, dan orang tidak dapat memberi reaksi yang lebih cerdik terhadap 'fenomena Sanusi', kita akan melihat kesan negatif terhadap demokrasi, raja berperlembagaan dan kepelbagaian budaya kita," katanya lagi.

Berita Harian melaporkan lebih 1,000 penyokong berkumpul di balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Kedah petang ini bagi menunjukkan sokongan terhadap Sanusi.

Video yang dimuat naik di media sosial memaparkan para penyokongnya melaungkan takbir sebaik ketibaan Sanusi sekitar jam 4.30 petang tadi.

Penganalisis Azmil Mohd Tayeb juga menyuarakan sentimen yang sama, dengan berkata isu mutakhir yang melibatkan Sanusi tidak akan menjejaskan peluangnya untuk menang dalam PRN.

Malah, Azmil berkata ia bertepatan dengan naratif pengerusi PN Kedah itu untuk mendapatkan undi simpati.

"Baginya, kenyataan yang mengapi-apikan disasarkan kepada golongan yang khusus, meningkatkan semangat penyokong PN untuk keluar mengundi. Penangkapan ini adalah sebahagian daripadanya.

Azmil Tayeb

"Ia tidak begitu menjejaskan populariti dan momentumnya. Dia boleh kata ini pendakwaan terpilih, tindakan politik dan ia akan diterima baik oleh penyokongnya," katanya lagi.

‘Jejas peluang di Selangor’

Namun, pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi ada pandangan berbeza.

Membangkitkan yang Sanusi tidak boleh bercakap tentang kesnya di ruang awam, Awang Azman berkata pengarah pilihan raya PN itu akan berdepan masalah undang-undang sekali lagi jika dia bercakap tentangnya.

"Dia bolehguna sentimen tersebut untuk tarik simpati penyokong, namun jika dia guna isu tersebut dia boleh dianggap menghina proses mahkamah.

"Namun ia tidak menghalang penyokongnya dan penyokong PN untuk gunakannya bagi meraih sokongan," katanya.

Awang Azman berkata kes mahkamah Sanusi akan menjejaskan peluang PN di Selangor dalam PRN nanti.

Awang Azman Awang Pawi

"Berdasarkan sentimen di media sosial, khususnya dalam kalangan orang Selangor, tercetus semangat ketaatan dan meningkatnya rasa bangga terhadap institusi diraja negeri itu.

"Apabila Sanusi buat kenyataan tersebut, ia bangkitkn rasa tidak puas hati dan ini kita dapat lihat di media sosial, sehingga menyebabkan beberapa NGO buat laporan (polis).

"Tindak-tanduk Sanusi menyebabkan usaha PN untuk menembusi Selangor jadi lebih mencabar," katanya.

Bagi pengundi atas pagar pula, dia berkata kenyataan itu akan menjauhkan mereka dalam PRN.

"Mereka akan lihat perkara ini dan fikir semula sejauh mana populariti Sanusi ini, adakah dia bermain dengan sentimen atau retorik.

"Adakah (Sanusi) benar-benar berkempen dan berhujah menggunakan data, misalnya berkenaan pencapaian ekonomi," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS