Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes 3R babitkan Sanusi tak sama dengan Guan Eng, Hadi
Diterbitkan:  Jul 18, 2023 7:40 PM
Dikemaskini: 11:40 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak segera menahan Muhammad Sanusi Md Nor dan bukan tokoh lain yang dikaitkan dengan isu 3R (agama, bangsa dan raja-raja) berdasarkan keseriusan kes.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata walapun pada dasarnya semua ahli politik terbabit disiasat berhubung isu yang sama, namun masih ada perbezaan antara satu sama lain.

Menjawab soalan wartawan pada sidang media khasnya di Bukit Aman hari ini Razarudin berkata, isu yang melatari kes menteri besar sementara Kedah tidak sama dengan dengan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng serta Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

"You (kamu) ada fakta kes Lim Guan Eng kan? You pun ada fakta kes Tan Sri Hadi Awang.

"(Mereka) tak ada langsung sentuh institusi diraja... berbeza," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sebelum ini media melaporkan Lim, Sanusi dan Abdul Hadi disiasat berhubung dakwaan mereka terlibat menyentuh isu 3R dan polis sudah mengambil keterangan ketiga-tiga mereka.

Tak boleh dibiarkan

Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang didakwa membuat kenyataan bahawa PN akan merobohkan tokong di negeri terbabit jika mereka menang dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini.

Lim bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa kenyataannya telah disalah tafsir.

Dia mendakwa kenyataan yang dibuat itu merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu berusia lebih 70 tahun yang dirobohkan di Kedah pada Julai 2020.

Abdul Hadi yang juga bekas duta khas bertaraf menteri pula disiasat susulan satu hantaran di akaun Facebook mengenai DAP.

PDRM mendapati hantaran berkenaan mengandungi kenyataan yang berunsur perkauman yang boleh mencetus kegusaran awam.

Ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis berhubung kenyataan Sanusi di Shah Alam pada 14 Julai lalu

Kata Razarudin, keseriusan isu yang membabitkan Sanusi jelas dilihat apabila ahli Dewan Diraja Selangor sendiri membuat laporan polis kerana tidak senang dengan kenyataan dibuat ahli politik terbabit.

Polis berpendapat, katanya, tindakan berkenaan boleh mendatangkan penghinaan, kebencian dan rasa tidak setia kepada raja-raja di negara ini.

"Kalau kita biarkan begini, semua raja akan dihina," katanya.

Sementara itu Razarudin memberitahu kertas siasatan mengenai Lim dan Abdul Hadi sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara semalam namun didapati masih ada yang perlu dilengkapkan.

"Itu siasatan yang akan kita teruskan insya-Allah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS