Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kerusi milik rakyat' - Pemimpin AMK bantah konsep 'dinasti'
Diterbitkan:  Jul 18, 2023 6:35 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Seorang pemimpin Pemuda PKR (AMK) menolak spekulasi Timbalan Setiausaha Agung PKR Muhammad Zakwan Mustafa Kamal mungkin dicalonkan di DUN Telok Ayer Tawar di Pulau Pinang bagi menggantikan bapanya, Mustafa Kamal Ahmad yang menyandang kerusi itu.

Timbalan Ketua AMK Tasek Gelugor Muhammad Qusyairi Johari berkata perbincangan mengenai calon masih berjalan.

"Saya secara peribadi tidak setuju dengan konsep mewarisi atau dinasti terutama apabila anak yang bakal mengantikan kerusi bapanya tidak mempunyai kelayakkan dan kredibiliti yang cemerlang dari segi perkhidmatan dalam cabang kawasan atau tempatan.

"Mana-mana kerusi DUN atau Parlimen adalah milik rakyat. Jika parti mahukan meletakkan calon muka baru, calon tersebut haruslah disenangi oleh akar umbi dan masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini laporan Malaysiakini memetik sumber menyatakan Muhammad Zakwan yang juga setiausaha akhbar Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mungkin dicalonkan di DUN Telok Ayer Tawar dalam PRN kali ini.

Muhammad Zakwan

Mustafa menang kerusi DUN itu pada PRU ke-14 dalam pertandingan empat penjuru mengalahkan calon BN Zamri Che Ros, Mohamad Hanif Haron (PAS) dan Lee Thian Hong dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan majoriti 2,203 undi.

Mengulas lanjut, Qusyairi berkata bakal calon perlu bergiat secara aktif di kawasan DUN yang ingin ditandingi serta mesra dengan penduduk dan akar umbi.

Katanya lagi, banyak calon pengganti yang boleh dipertimbangkan parti jika penyandang mana-mana kerusi tidak mahu bertanding.

"Saya yakin dengan kebijaksanaan kepimpinan negeri dan pusat untuk membuat keputusan sewajarnya untuk bakal calon di DUN tersebut, jadi tidak wajar untuk kita membuat andaian awal bakal calon yang akan bertanding.

"Kami di akar umbi sentiasa percaya pimpinan akan memastikan pemilihan calon yang terbaik untuk PRN kali ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS