Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sanusi kekal pengarah pilihan raya PN
Diterbitkan:  Jul 18, 2023 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kekal sebagai pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifakan pertuduhan terhadap Sanusi tidak menjejaskan kempen pilihan raya PN.

“Perikatan akan mengekalkan Muhammad Sanusi sebagai pengarah pilihan raya bagi enam pilihan raya negeri. Banyak persiapan telah disiapkan.

“Kami akan mengekalkan strategi kami dengan pendekatan mendedahkan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan (BN) di negeri yang mereka kuasai sekarang – Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Perikatan memutuskan untuk menyediakan manifesto yang akan menarik sokongan daripada pengundi dan kami percaya apa yang dihadapi oleh Muhammad Sanusi (di mahkamah hari ini) tidak akan menjejaskan jentera kempen,” katanya seperti dilaporkan TheStar.

Sanusi didakwa di mahkamah pagi ini atas dua pertuduhan berhubung ucapannya pada 11 Julai ketika  ceramah PN di Selayang, Selangor.

Muhammad Sanusi Md Nor

Kedua-dua pertuduhan dihadapinya  berhubung tindakannya mengeluarkan kata-kata yang mempunyai kecenderungan untuk menimbulkan ketidaksetiaan terhadap seorang pemerintah.

Jika sabit kesalahan, Sanusi boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.

Ketika  perbicaraan hari ini, Sanusi bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dan mahkamah memerintahkan dia membayar ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan. 

Kedua-dua hakim juga membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk mengenakan perintah gag ke atas Sanusi, menghalangnya daripada membincangkan perbicaraan secara terbuka.

Sementara itu, Sanusi hari ini membayangkan yang dia akan terus bertanding pada pilihan raya negeri Kedah bulan depan walaupun berdepan pertuduhan di mahkamah.

Kedua-dua kes ditetapkan untuk prosiding praperbicaraan pada 4 Okt.

“Alhamdulillah, (mahkamah menetapkan tarikh pada) Oktober, jadi saya boleh bertanding dalam pilihan raya negeri dahulu,” katanya dipetik Bernama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS