Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terowong bawah laut: Pendakwa berhujah syarikat bayar RM74.8 juta

Pihak pendakwaan dalam kes rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata syarikat Ewein Berhad membayar sebanyak RM74.8 juta untuk pemberian dua bidang tanah yang dikaitkan dengan projek terowong bawah laut Pulau Pinang dalam tempoh antara 2012 dan 2015.

Timbalan pendakwa raya (DPP) Ahmad Akram Gharib membangkitkan perkara itu ketika perbicaraan kes rasuah membabitkan projek infrastruktur bernilai RM6.3 bilion tersebut.

Semasa pemeriksaan utama terhadap bekas Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Akmar Omar, pendakwa raya bertanya soalan kepada saksi pendakwaan ke-35 itu mengenai pembayaran oleh Ewein, yang terlibat dalam projek berkenaan.

Soalan terhadap Akram berkisar mengenai apakah dia sedar mengenai transaksi berkenaan, yang mana dia kemudian menjawab tidak tahu.

DPP kemudian mendakwa pembayaran pertama dibuat pada 18 Nov 2013 sebanyak RM12.5 juta, manakala bayaran akhir sebanyak RM48.2 juta dan RM5 juta pada 30 Mac 2015, dengan jumlah keseluruhan pembayaran sebanyak RM74.8 juta.

Akram: Pada masa itu, tanah itu dimiliki oleh siapa?

Akmar: Kerajaan negeri.

Apabila Akram bertanya kepada Akmar sama ada mana-mana syarikat lain menerima layanan istimewa sedemikian, saksi itu menjawab "sebelum kes ini, tiada".

Pada 5 Okt 2021, dilaporkan bahawa pengasas dan pengerusi eksekutif Ewein, Ewe Swee Keng ditemui mati di luar apartmennya.

Pada 16 Dis tahun yang sama, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang membicarakan kes rasuah Lim membenarkan keterangan Ewe yang direkodkan oleh SPRM sebelum kematiannya diterima sebagai bukti dalam kes itu.

Bagaimanapun hari ini semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama, Gobind Singh Deo, Akmar bersetuju bahawa ia bukan layanan istimewa kerana kerajaan negeri memberi tumpuan kepada projek itu kerana ia melibatkan infrastruktur utama.

Saksi pendakwaan itu bersetuju bahawa projek itu memerlukan perhatian khusus dan kebenaran khas kerana ia merupakan projek besar.

Gobind: Projek ini seperti ini tidak ada projek lain (yang serupa) di Pulau Pinang?

Akmar: Betul.

Gobind: Memandangkan ini projek besar yang memerlukan perhatian khusus, sudah tentu kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada projek ini?

Akmar: Betul.

Gobind: Ini bukan layanan istimewa tetapi semata-mata untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek?

Akmar: Ya, betul. Ia adalah untuk pembangunan oleh kerajaan.

Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dijangka disambung pada Khamis minggu ini.

Empat pertuduhan rasuah

Lim sebelum ini menghadapi empat pertuduhan rasuah.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 16(A)(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM kerana menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk menerima suapan RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion di negeri itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di TIngkat 28.Pejabat Ketua Menteri di Komtar, George Town, Pulau Pinang, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa atas kapasitinya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, meminta daripada Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang diperolehi syarikat itu sebagai balasan membantu mendapatkan projek berkenaan.

Zarul merupakan pengarah eksekutif kanan dengan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB), yang terlibat dalam projek tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur, antara 12.30 pagi dan 2 pagi pada Mac 2011.

Pertuduhan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Lim juga menghadapi dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebat dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS