Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Akta Hasutan tidak dapat dielakkan dalam hal berkaitan Raja-raja’
Diterbitkan:  Jul 18, 2023 2:33 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim menegaskan kedudukan Raja-Raja Melayu tidak wajar dijadikan bahan dalam ucapan-ucapan dan perbahasan politik.

Justeru, katanya, memandangkan  menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor telah menyentuh mengenai Raja-raja, penggunaan Akta Hasutan terhadapnya tidak dapat dielakkan.

“Saya dari segi dasar elakkan penggunaan Akta Hasutan, jadi yang ini bila menyentuh kedudukan raja-raja harus kita pelihara, sanjung dan elak jadi suatu wacana perbahasan politik yang tidak sihat.

“Soal kritik Perdana Menteri, saya tak pernah gunakan itu sebagai suatu alasan (bagi mengenakan tindakan di bawah Akta Hasutan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor, di Sekinchanhari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan itu mengulas kritikan terhadap penggunaan undang-undang berkenaan, yang pernah ditentang oleh gabungannya sebelum ini.

Anwar juga meminta semua pihak supaya menghormati proses mahkamah.

“Polis buat siasatan, peguam negara pun buat pendakwaan, jadi saya tidak mahu ganggu proses dan saya minta akan teliti pendakwaan.

“Yang pertama berkenaan dengan laporan dan kemudian apa alasan peguam negara yang melihat kepada pendakwaan selepas siasatan polis.

“Jadi, kena hormat proses mahkamah,” katanya.

Disoal wartawan mengenai keperluan pihak polis menahan Sanusi pada jam 3 pagi, Anwar enggan mengulas lanjut dan sekadar memberitahu tangkapan dibuat berikutan pemantauan rapi oleh polis.

Sanusi ditahan polis dekat sebuah hotel di ibu negara pada jam  3 pagi tadi sebelum dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.

Tangkapan itu menimbulkan kecaman dari pelbagai pihak termasuk daripada pemimpin PH sendiri.

Ahli Parlimen Bayan Baru dari PKR, Sim Tze Tzin beranggapan adalah tidak wajar Sanusi dicekupi pada pagi buta sedangkan dia tidak menimbulkan risiko akan melarikan diri.

Sim turut menggesa kajian semula ke atas prosedur operasi standard (SOP) polis berhubung penahanan suspek.

Sim Tze Tzin

Susulan penahanan itu, Sanusi kemudiannya dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik, pada 11 Julai lalu.

Bagaimanapun, dia  mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen berasingan.

Kedua-dua hakim membenarkan menteri besar itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan tertuduh tidak membuat sebarang komen berhubung kes sehingga kes berkenaan selesai.

Hakim juga menetapkan 4 Okt untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS