Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak wajar tangkap Sanusi pada 3 pagi - Sim 
Diterbitkan:  Jul 18, 2023 12:37 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Seorang ahli parlimen PKR tampil mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) polis dan mahu ia dikaji semula berhubung penahanan suspek, susulan tangkapan jam 3 pagi ke atas menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini.

Dalam cadangannya itu, ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata, Sanusi adalah menteri besar yang tidak menimbulkan risiko akan melarikan diri.

“Negara ini mempunyai perundangan yang lengkap. Yang salah disiasat pihak berkuasa, bukti kukuh Peguam Negara akan mendakwa. Kalau dibukti bersalah di mahkamah, hukuman akan dijatuhkan.

“Itu proses perundangan.

“Ceramah Sanusi celupar, hina institusi Raja, memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum. Beliau harus disiasat, jika bukti kukuh, harus didakwa,” kata Sim dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Bekas timbalan menteri itu berkata walaupun dia menghormati bidang kuasa polis yang bebas dan professional dalam menjalankan tugas, SOP tangkapan polis harus dijalankan dengan lebih baik. 

“Tangkapan pada pukul 3 pagi bukanlah satu tindakan yang wajar. Sanusi seorang menteri besar. Beliau bukan suspek yang akan melarikan diri.

“Penangkapan boleh dijalankan awal pagi atau petang. Tak wajar dilaksanakan tengah malam. 

“SOP polis yang ditetapkan zaman darurat wajar dikaji semula, sejajar dengan prinsip Malaysia Madani yang didukung oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Malaysia adalah negara hukum (Rule of Law), Malaysia juga adalah negara Madani,” kata Sim.

Sanusi yang juga adalah pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) ditahan di sebuah hotel di Mont Kiara, Kuala Lumpur, kira-kira jam 3 pagi hari ini.

Sanusi dikatakan ditahan ketika berada dalam sebuah bilik di tingkat 33A, di hotel berkenaan dan kemudiannya dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948..

Dia kemudiannya dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik, pada 11 Julai lalu.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Sanusi didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS