Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli Umno perlu berhenti fobia pada DAP - Ahmad Maslan

Ahli Umno perlu bersikap terbuka kepada dinamik politik baru parti itu, kata Ahmad Maslan, yang memberitahu akar umbi parti supaya menghentikan sikap fobia terhadap DAP.

Tampil sebagai panelis sesi Townhall Umno Bahagian Kota Raja di Klang, malam tadi, ahli majlis tertinggi Umno itu berkata DAP antara lain telah menerima Islam sebagai agama persekutuan Malaysia dan kedudukan istimewa orang Melayu di negara ini.

Menurutnya, parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu kini menyamai parti komponen BN iaitu MCA dan bekas sekutu mereka Gerakan.

"Apa bezanya DAP, MCA dan Gerakan? Mereka semua parti berasaskan Cina. DAP adalah parti berasaskan Cina, begitu juga MCA dan Gerakan.

"Apa lagi? Mereka makan daging babi, berjudi, minum arak seperti yang dilakukan oleh kaum Cina (bukan Islam). Itu perkara biasa. Tetapi Gerakan tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15), manakala MCA hanya memenangi dua kerusi.

"DAP pula menang 40 kerusi. Sejak 2008, masyarakat Cina telah mengalihkan sokongan mereka untuk memihak kepada DAP. Pada pilihan raya umum 2018, hampir 95 peratus pengundi Cina mengundi DAP manakala 5 peratus lagi mengundi MCA .

"Sampai bila kita dalam dinamik politik tak nak buka minda apabila bercakap mengenai DAP? kata Ahmad yang juga timbalan menteri kewangan.

Forum bertajuk 'Apakah Peranan Umno dalam Kerajaan' itu turut menampilkan Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said sebagai panel kedua.

Sementara itu Ahmad memberitahu betapa sikap sesetengah ahli Umno masih fobia terhadap DAP itu berpunca daripada bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang pernah memimpin Umno sebagai presiden parti.

Tambahnya, Mahathir juga pernah bekerjasama dengan DAP ketika mahu menjatuhkan kerajaan persekutuan diterajui Umno pada 2018.

"Saya nak bagitahu kepada tuan-puan pada 2012 DAP buat satu deklarasi, mereka menyokong Islam, (kedudukan) orang Melayu, Raja-raja Melayu dan bahasa (Melayu) atau ringkasnya IMRB (Islam, Melayu, Raja, Bahasa).

"Dan pada Disember 2022, mereka menandatangani perjanjian dengan pihak lain yang membentuk kerajaan perpaduan yang turut menyentuh komitmen (IMRB) ini," katanya.

Ahmad turut menyangkal dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa kedudukan Islam sedang terancam apabila negara ini dipimpin oleh kerajaan perpaduan.

Malah dengan adanya DAP di Putrajaya katanya, kerajaan hari ini lebih banyak menggunakan perkataan Arab untuk programnya berbanding ketika diterajui PN (merujuk kepada slogan Madani dan Rahmah).

Tambahnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga sering menjemput golongan ulama untuk datang ke Malaysia selain menunaikan solat Jumaat di masjid berbeza setiap minggu.

"Kita tidak pernah mendengar perkara ini dilakukan semasa Bersatu dan PAS memimpin negara," ujarnya.

Peluang untuk Umno

Dalam majlis itu, Ahmad dan Azalina turut mengingatkan ahli Umno di Selangor tentang kepentingan mereka untuk menyokong kerajaan perpaduan.

Ini termasuk dengan memberi sokongan kepada parti lain yang bekerjasama dengan Umno dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menurut Ahmad lagi, inilah peluang untuk Umno kembali berada dalam petadbiran kerajaan negeri Selangor selepas mereka kalah di negeri itu pada 2008.

"Sekarang, kita akan menghadapi PRN. Jika kita tidak memberikan undi kita kepada sekutu kita, kepada parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan yang bertanding kerusi di mana Umno dan BN tiada, maka apa yang akan berlaku pada 12 kerusi di mana kita memerlukan sokongan mereka?

"Jadi, kita perlu memikirkan perkara ini dari konteks yang lebih besar, iaitu untuk seluruh Selangor," katanya.

Sementara itu, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) memberitahu bahawa Selangor sewajarnya mempunyai kerajaan negeri yang selaras dengan pentadbiran persekutuan.

Selepas Umno kehilangan kerajaan persekutuan pada 2018, katanya, menjadi lebih sukar bagi ahli Umno untuk meneruskan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Tetapi ujarnya, walaupun tidak mempunyai banyak kuasa kecuali di beberapa negeri, parti itu terus menjadi pilihan kepada rakyat untuk meminta bantuan apabila mereka memerlukan.

“Tidak ada dalam DNA Umno untuk menolak apabila rakyat minta bantuan. Jadi kami masih melakukan yang terbaik untuk membantu mereka.

"Tetapi, apabila kerajaan negeri sehaluan dengan kerajaan persekutuan, lebih mudah untuk kita membantu rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS