Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
MB Kedah mengaku tak salah tuduhan pertikai titah Agong
Diterbitkan:  Jul 18, 2023 10:10 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur hari ini, atas satu lagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Dia didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong apabila mempertikai penubuhan kerajaan perpaduan yang kononnya tidak dititahkan Seri Paduka Baginda.

Sanusi, 48, yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Menurut wartawan, pemimpin PAS yang memakai kemeja putih tidak digari semasa dibawa ke mahkamah, satu keistimewaan yang lazimnya tidak diberikan kepada tahanan.

Dia didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 malam, 11 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga dilarang membuat apa-apa komen sehingga kes selesai.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin atas pertuduhan sama berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam ceramah sama.

Kedua-dua mahkamah menetapkan masing-masing jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Muhammad Sanusi.

Mahkamah juga menetapkan 4 Okt untuk sebutan semula kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS