Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zakwan dijangka ganti bapa di DUN Teluk Air Tawar - sumber

Timbalan Setiausaha Agung PKR Muhammad Zakwan Mustafa Kamal mungkin bakal diangkat sebagai calon muka baru untuk bertanding di kerusi DUN Telok Air Tawar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.

Menurut sumber parti, Zakwan yang juga setiausaha akhbar kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkemungkinan diangkat sebagai calon untuk mempertahankan kerusi yang disandang bapanya, Mustafa Kamal Ahmad.

"YB (Mustafa) dikatakan bersara dari politik atas faktor usianya.

"Tidak mustahil pemimpin muda berusia 26 tahun itu (Zakwan) untuk diangkat sebagai calon di DUN Telok Air Tawar menggantikan bapanya pada kali ini," kata sumber kepada Malaysiakini.

Senarai calon mewakili PKR di Pulau Pinang dijangka diumumkan oleh pucuk kepimpinan tertinggi parti itu dalam hujung minggu ini oleh presiden parti Anwar Ibrahim.

"Jika benar maklumat itu, ia selari dengan keputusan PKR yang membuka ruang seluas-luasnya kepada anak muda dalam parti itu," kata sumber itu lagi.

Mustafa menang kerusi DUN itu pada PRU ke-14 dalam pertandingan empat penjuru mengalahkan calon BN Zamri Che Ros, Mohamad Hanif Haron (PAS) dan Lee Thian Hong dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan majoriti 2,203 undi.

Malaysiakini cuba menghubungi Zakwan untuk mendapatkan komen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS