mk-logo
Berita
Sanusi nafi didenda sebab curi nadir bumi
Diterbitkan:  Jul 16, 2023 11:23 PM
Dikemaskini: 3:33 PM

Menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dikenakan denda RM500,000 berhubung kes kecurian nadir bumi di Sik.

Dia juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang membuat dakwaan itu.

Pada sidang media hari ini, Sanusi mendakwa kompaun itu bukan dikeluarkan kepada dirinya atau Menteri Besar Diperbadankan (MBI) tetapi kepada pihak ketiga.

Menurut Sanusi, Tanah di Kampung Chong, Sik milik Jabatan Perhutanan negeri, jadi apabila MBI mahu menggunakan tanah itu ia memohon kepada jabatan tersebut.

"Satu permit penggunaan telah dikeluarkan atas nama MBI yang melantik satu syarikat usaha sama untuk membangunkan ladang hutan, bukan syarikat tersebut yang dikompaun.

"Yang dikompaun adalah pihak ketiga yang menceroboh dan melakukan kegiatan mencuri (REE).

“Dalam dokumen Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terdapat nama individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965," katanya lapor BH Online.

Jelas Sanusi, kompaun itu telah dikenakan ke atas seorang lelaki dari Kuala Krai, Kelantan.

Dia dilaporkan telah menunjukkan kepada media dokumen sokongan berkaitan kes itu.

Saifuddin membuat dakwaan itu terhadap Sanusi pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN-Pakatan Harapan Kedah pada Sabtu malam.

Sanusi merangkap pengarah pilihan raya PN berkata dakwaan itu berniat jahat.

"Saya juga tidak pernah terima surat saman atau kompaun (seperti yang dimaklumkan Saifuddin).

"Dia sebut saya disaman bukan lagi untuk (modal) berkempen tetapi mempamerkan kejahatannya," katanya.

Sementara itu, Sanusi berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap setiausaha agung PKR itu.

"Untuk tuduhan yang tidak benar ini saya telah mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan polis dan tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang, tak kira menteri tak menteri, saya akan saman.

"Tapi menuduh saya mencuri itu 'clear cut', saya akan mengambil tindakan undang-undang," kata menteri besar Kedah itu.

Gambar fail, penduduk membantah perlombongan nadir bumi di Sik.

Menjawab Sanusi, Saifuddin berkata dia tetap mempertahankan dakwaannya itu.

"Fakta yang (saya sebutkan sebelum ini) tidak berubah... (di Kedah) tidak ada syarikat yang mendapat lesen eksport, jadi mineral di Kedah yang diperolehi secara tidak mengikut tertib dan peraturan... dibawa sampai ke Pelabuhan Klang.

"Yang ditangkap itu termasuk warga asing, dan warga asing ini ada yang bekerja atau (mempunyai) visa kerja (yang) dikeluarkan daripada perakuan MBI.

"Warga China (yang ditahan) ini, dia masuk sebagai visa profesional, dia hanya boleh masuk dengan visa itu kalau MBI beri perakuan, dan di antara yang ditangkap termasuk yang dapat visa yang diperakukan MBI, jadi itu yang ditangkap," katanya.

Gambar orang ditangkap bersama Sanusi

Saifuffin berkata dia mempunyai gambar pertemuan orang yang ditangkap bersama Sanusi.

"Saya mempunyai gambar mereka yang telah ditangkap, di mana dan bila mereka bergambar dengan Sanusi. Saya mempunyai semua maklumat.

"Dia perlu menjelaskan segala-galanya, bukan sekadar mendakwa MBI tidak terlibat.

“Saya mempunyai koleksi gambar yang bagus, tetapi saya tidak mendedahkannya sekarang," katanya, lapor NST.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS