Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) telah mendenda seorang pemilik salon rambut RM100 kerana membenarkan kakitangan wanitanya memotong rambut pelanggan lelaki.
Insiden itu berlaku di salun rambut miliknya di ibu negeri Kelantan pada minggu lalu, menurut New Straits Times (NST).
Difahamkan, pelanggan itu pergi menggunting rambut di sana bersama ahli keluarganya, lapor akhbar berbahasa Inggeris itu.
Presiden Persekutuan Persatuan Cina Kelantan Oie Poh Choon dipetik NST berkata pemiliknya didapati telah melanggar peraturan kecil MPKB, yang telah dilaksanakan selama lebih 10 tahun.
Ini bukan peraturan baru
Oie berkata pemiliknya telah mengaku melakukan kesalahan itu dan telah membayar denda RM100 empat hari lalu.
"Dia mengakui kesilapannya dan mendakwa dia terlupa peraturan itu," tambahnya.
Menurut Oie, peraturan kecil majlis tempatan itu di bawah garis panduan lesen perniagaan menyatakan pendandan rambut wanita bukan Islam dilarang memotong rambut lelaki Islam.
Dia juga berharap supaya pihak MPKB memberi taklimat kepada pemilik salun mengenai peraturan sedia ada kerana ramai yang sudah melupakannya.
Semasa mesyuarat persatuannya baru-baru ini, Oie berkata dia telah mengingatkan ahlinya supaya tidak melanggar peraturan MPKB atau mana-mana peraturan lain kerana mereka tidak mahu "pihak tertentu mengambil kesempatan daripada keadaan".
“Sebelum kita pergi lebih jauh, adalah penting untuk mengetahui bahawa ini bukan peraturan baru di bandar ini.
"Peraturan ini telah dikuatkuasakan oleh majlis dalam garis panduan lesen perniagaan.
"Untuk selamat, kita hanya perlu mengikut peraturan untuk mengelakkan akibat yang tidak diingini," katanya lagi.