Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najwan mohon maaf dari PSM sebut 'parti India estet'
Diterbitkan:  Jul 15, 2023 8:05 AM
Dikemaskini: 12:05 AM

Seorang pemimpin PKR yang juga penyandang kerusi DUN di Selangor memohon maaf selepas didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan salah seorang calonnya.

Permohonan maaf itu dibuat selepas tangkap layar kenyataan itu - nampaknya dibuat oleh penyandang Adun Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi dalam kumpulan WhatsApp PKR - telah tersebar di media sosial semalam.

Tangkap layar itu memaparkan dia menulis "parti India estet" sebagai respons terhadap berita pengumuman PSM bahawa parti itu meletakkan aktivis sosial Sivaranjani Manickam di Meru untuk pilihan raya Selangor.

Sekurang-kurangnya seorang dalam kumpulan itu turut membalas kenyataan Najwan dengan emoji "menangis sambil ketawa".

“Jika ini komen anda, Najwan, ini adalah kenyataan perkauman terhadap calon PSM!

“Seorang lagi hipokrit dalam Pakatan Harapan telah terbongkar! Adakah kita memerlukan wakil rakyat seperti itu,” soal Setiausaha Agung PSM A Sivarajan di Twitter, berhubung tangkap layar berkenaan.

Bagaimanapun, Najwan mengakui kenyataannya tidak wajar dan mengundang salah faham dan berkata dia telah menghubungi Sivarajan untuk memohon maaf kepada PSM dan ahlinya.

Dia berikrar untuk lebih berhati-hati dengan kata-katanya pada masa akan datang dan berharap isu itu dapat diselesaikan.

“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas tulisan tersebut dan ia merupakan tanggapan dangkal saya terhadap PSM yang selama ini saya kenali sebagai sebuah parti politik yang paling ke hadapan dalam menjuarai isu-isu masyarakat India khususnya yang tinggal dan bekerja di estet.

"Kedangkalan ini saya akui adalah dari kelemahan dan kekurangan saya yang tidak mengenali PSM secara dekat dan mendalam," kata Najwan pada satu kenyataan malam tadi.

Di sebalik episod ini, Najwan berkata dia bukan seorang perkauman dan tidak prejudis terhadap mana-mana kaum termasuk orang India.

"Sebagai pemimpin, saya sentiasa menjaga kebajikan serta mengambil pendekatan dengan bersikap adil dan mesra terhadap semua lapisan masyarakat tanpa mengenal kaum dan agama," katanya lagi.

Sivaranjani (gambar, atas) calon pertama yang diumumkan oleh PSM untuk PRN ini, yang akan diadakan pada 12 Ogos. Hari penamaan calon untuk pilihan raya jatuh pada 29 Julai.

Menurut PSM, anggota parti berusia 42 tahun itu telah menangani masalah masyarakat di cawangan parti itu Klang selama lebih 15 tahun.

“Sivaranjani bersungguh-sungguh memperjuangkan hak golongan miskin dari segi ekonomi, terutamanya suara pekerja kolar biru yang sering tidak didengari.

“Dia boleh bercakap daripada pengalaman membantu ratusan daripada mereka yang mendapatkan keadilan atas pelanggaran hak mereka setiap hari atau tindakan diskriminasi terhadap mereka,” katanya.

Amanah telah mengumumkan parti itu akan bertanding di kerusi Meru tetapi masih belum mendedahkan calonnya.

Penyandang dua penggal untuk DUN Meru ialah wakil rakyat PKR Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, yang dijangka tidak akan mempertahankan kerusinya.

Dia memenangi kerusi itu dengan 9,608 undi pada pilihan raya lalu.

Fakhrulrazi pertama kali bertanding di kerusi itu atas tiket Amanah tetapi keluar parti tersebut untuk menyertai PKR pada 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS