Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan RM7.8 juta, abang Sanusi jelaskan banglo di Sik hanya RM1 juta
Diterbitkan:  Jul 14, 2023 5:26 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Pemilik sebuah banglo mewah di Sik, Kedah, yang dikaitkan dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, tampil mendedahkan bahawa nilai sebenar rumah berkenaan bukan seperti yang ditularkan di media sosial.

Menurut Shabudin Md Nor, yang juga abang kepada Sanusi, banglo itu hanya bernilai kira-kira RM1 juta, dan bukannya RM7.8 juta seperti yang didakwa.

Bercakap kepada pemberita di rumah itu di Kampung Batu Lapan, Sik, hari ini Shabudin berkata banglo berkenaan dibina pada Februari tahun lalu dengan anggaran asal kontraktor lebih RM800,000.

“Berita tentang harga rumah sehingga RM7.8 juta itu tak betul, sebut harga pembinaan rumah ini hanya kira-kira RM800,000 sahaja, setelah ditambah perkakasan hanya sekitar RM1 juta.

“Kalau harganya RM7.8 juta, baik saya jual saja rumah ini, lagi untung,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia, hari ini.

Shabudin, 57, berkata, rumah di tapak berkeluasan 4,000 kaki persegi yang mempunyai enam bilik itu adalah hasil titik peluhnya tanpa menggunakan wang adiknya seperti yang didakwa oleh beberapa pihak.

“Tanah dan rumah lama di sini pun adalah pusaka daripada ibu mertua saya yang diberikan kepada isteri.,” katanya.

Menghuraikan lanjut Shabudin berkata, rumah itu dibina dengan hasil titik peluhnya bekerja sebagai penyelam dasar laut di luar negara sejak 27 tahun lalu selepas berhenti berkhidmat sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Pada 1996 saya ambil kursus sijil menyelam komersial, selepas itu saya aktif dalam bidang ini sehingga sekarang, kerja saya kebanyakan di luar negara," katanya.

Sementara itu, portal Berita Harian pula memetik Shabudin sebagai berkata, dia sebenarnya tidak tahu pun banglo miliknya itu menjadi tular kerana tidak memiliki akaun media sosial dan dan hanya dimaklumkan mengenainya oleh rakan dan anak-anak.

"Bagi saya rumah ini tidaklah sebesar mana, ada lagi banglo penduduk Sik lebih besar daripada rumah saya. 

“Mungkin sebab saya abang kepada menteri besar, mereka tularkan, ini semua bermotifkan politik," katanya.

"Mungkin kerana saya abang kepada (penjaga) menteri besar, mereka jadikan isu ini. Ini semua bermotifkan politik," katanya.

Mengulas lanjut, Shabudin juga memberitahu wartawan bahawa gaji yang diterima bergantung kepada kontrak yang diperolehi, ada yang bagus gajinya dan ada yang kurang.

Menurutnya, wang yang diterima tidak menentu dan enggan berkongsi jumlah sebenar gaji yang diterimanya tetapi mengesahkan dia dibayar dengan dolar Amerika Syarikat.

Shabudin juga menafikan bango berkenaan ada kaitan dengan adiknya.

“Rumah saya ini tidak sebesar manapun, jadi janganlah memfitnahnya (Sanusi), di belakang rumah saya ini ada lagi rumah yang lebih besar dan mahal harganya.

"Saya kumpul duit buat rumah ini sikit-sikit, selama bekerja saya turut bantu adik-adik yang masih bersekolah, tapi kakak sulung paling banyak bantu adik-adik.

"Sebenarnya saya tak kisah dengan yang ditularkan di media sosial, cuma keluarga dan anak-anak kurang selesa...kita ini hanya hidup sementara di dunia, tiada apa yang kekal," katanya.

Sebelum ini, Sanusi menolak dakwaan bahawa dia memiliki banglo berkenaan dan berkata pemfitnah sedang bekerja keras menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk mempengaruhi orang ramai bahawa dia kini hidup kaya raya hingga mampu membina rumah banglo tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS