Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'RM30 juta dibelanja untuk Jualan Rahmah, 1.1 juta pengguna dapat manfaat'

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah membelanjakan sejumlah RM30 juta untuk Jualan Rahmah yang memberi manfaat kepada 1.1 juta rakyat di seluruh negara sehingga Jun lepas.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata menerusi program ini, pembeli bukan sekadar menikmati harga subsidi malah mendapat potongan harga barangan yang jauh lebih murah.

"Misalnya harga telur gred A dijual pada harga RM13 sepapan berbanding harga pasaran RM18, manakala seekor ayam dijual dengan harga RM6.80 sekilogram berbanding harga pasaran RM9.40 sekilogram," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Rahmah di Laman Warisan Kampung Laut, di Tumpat, Kelantan hari ini, yang turut dihadiri Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata Jualan Rahmah dilakukan untuk memastikan golongan sasar dan memerlukan menerima subsidi yang diberikan kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Fauziah berkata pihaknya sudah melakukan libat urus dengan beberapa pengeluar susu formula bagi menangani isu kenaikan harga barangan itu baru-baru ini.

"Setakat ini, pengeluar yang ditemui memberi maklum balas positif dan keputusan akan dicapai dalam masa terdekat.

"KPDN akan memastikan susu formula yang ditawarkan itu akan dijual pada harga mampu milik bagi meringakan beban rakyat," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS