Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Dana yayasan tak digunakan untuk Jaguar yang dipinjamkan pada Anwar’
Diterbitkan:  Jul 14, 2023 2:18 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

Yayasan Aman tidak membelanjakan sebarang wang untuk Jaguar XJ yang pernah digunakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Setiausaha politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi berkata kenderaan berusia 13 tahun adalah sumbangan kepada yayasan itu oleh seorang simpatisan dan penyokong gerakan “reformasi” pada 2020.

“Ia (kereta itu) digunakan oleh Anwar semasa beliau tidak menjawat apa-apa jawatan di dalam pentadbiran kerajaan.

“Walaupun didaftarkan di atas nama Yayasan Aman, kos penyelenggaraan kereta tersebut berserta insurans dan cukai jalan adalah ditanggung oleh Anwar dengan menggunakan duit peribadi beliau dan tiada langsung dana dari Yayasan Aman digunakan untuk kenderaan tersebut,” kata Ahmad Farhan menerusi satu kenyataan, hari ini.

Yayasan Aman adalah sebuah pertubuhan bukan berteraskan keuntungan yang komited untuk membantu masyarakat yang kurang bernasib baik; yang terpinggir di kawasan bandar dan luar bandar.

Ia ditubuhkan oleh Anwar pada 1983 - ketika dilantik sebagai menteri belia dan sukan dan setahun selepas dia dipilih sebagai wakil rakyat.

Ahmad Farhan turut menjelaskan bahawa kereta jenis BMW 7 Siri yang sebelum ini digunakan Anwar juga dipinjamkan oleh seorang ahli perniagaan bumiputera.

“Ia adalah pinjaman ihsan seorang ahli perniagaan bumiputra yang digunakan untuk kempen pilihanraya (PRU15 pada 2022) semata-mata dan kenderaan tersebut telah dipulangkan kepada ahli perniagaaan tersebut sejurus selepas Anwar menerima kereta rasmi kerajaan,” katanya.

Semalam, Ahmad Farhan membuat laporan polis terhadap anggota Bersatu Badrul Hisham Shaharin, bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan penulis blog Raggie Jessy Rithaudeen berhubung dakwaan mengenai rumah, kenderaan dan harta benda Anwar.

Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa rumah di Sungai Long yang didiami Anwar adalah milik “tauke Cina yang penuh misteri” dan mahu SPRM menjalankan siasatan.

Peguam Anwar, SN Sankara Nair juga tampil menjelaskan bahawa  perdana menteri menandatangani perjanjian pajakan selama 10 tahun untuk mendiami rumah berkenaan.

Katanya perjanjian tersebut ditandatangani pada 2020.

Dalam laporan polisnya, semalam, Ahmad Farhan menggesa polis menggunakan Seksyen 500 Kanun Keseksaan terhadap ketiga-tiga mereka kerana melakukan fitnah jenayah.

Namun laporan polis itu mendapat kritikan daripada Timbalan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif yang mendakwa Anwar sepatutnya memfailkan saman fitnah bagi mempertahankan dirinya dan , bukannya melibatkan polis dalam perkara itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS